Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan hari ini, melupuskan dadah bernilai lebih RM55.7 juta membabitkan 1,952 kertas siasatan yang sudah diselesaikan.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan menghantar dadah terbabit kepada kontraktor bertauliah di Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan hari ini, untuk dilupuskan esok.

Ketua Polis negeri Datuk Shafien Mamat berkata, semua barangan berkaitan kes dadah itu sudah selesai menjalani perbicaraan di mahkamah sejak 2007 hingga 2021.

Kata beliau, antara dadah yang dilupuskan ialah heroin seberat 420 gram, Methamphetamine (1.51 tan), kanabis (1.245 tan), yaba (5.02kg), Codeine (36.8kg), Diphenhydramine (4kg) dan 11.15kg Methadone.

"Dadah terbabit dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah sudah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah terbabit tamat.

"Kos mengurus yang diperuntukkan bagi pelupusan dadah ini adalah sebanyak RM33,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Pelupusan Barang Kes Dadah di IPK Kelantan.

Shafien berkata, pelupusan dadah itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang ditetapkan.

"Kesemua barang kes dadah ini diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1952, ADB (Perlucuthakan harta) 1988 dan Akta Racun 1952," katanya.

Pada perkembangan yang sama, Shafien berkata, statistik nilai rampasan dadah bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berjumlah lebih RM52.24 juta.

"Dalam tempoh itu juga, kami membuat 10,373 tangkapan membabitkan 8,230 kes.

"Nilai rampasan tahun ini menurun 45 peratus berbanding 2020 iaitu lebih RM94.8 juta dengan tangkapan membabitkan 15,547 individu," katanya.

Menurut beliau, selain itu, pihaknya turut menumpaskan enam sindiket dadah selain menahan 17 ahli sindiket.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 12:59 PM
DATUK Shafien Mamat diiringi oleh Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar  menunjukkan pelbagai barang kes dadah bernilai lebih RM55.7 juta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Shafien Mamat diiringi oleh Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar menunjukkan pelbagai barang kes dadah bernilai lebih RM55.7 juta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar