Mohd Nadzri (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dilupuskan. FOTO Nor Raidah Awang
Mohd Nadzri (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dilupuskan. FOTO Nor Raidah Awang
Nor Raidah Awang


Taiping : Polis Perak dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 2,319 kilogram (kg) bernilai lebih RM2.81 juta, hari ini.

Dadah berkenaan dilupuskan dengan menggunakan sistem insinerator dan mendapat kerjasama syarikat ENGENTA Mediserve di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya, dekat sini.

Timbalan Pengarah 3, JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner R Ravichandran menyempurnakan majlis itu.

Mohd Nadzri berkata, antara yang dilupuskan heroin, ganja, syabu, ketamin, pil yaba estacy, eramin 5, ubat batuk serta daun ketum dan airnya.

"Semua dadah berkenaan membabitkan kes sejak 15 tahun lalu di 14 daerah di Perak dengan keseluruhan bernilai RM2,816,709.10," katanya pada program pelupusan Eksibit Dadah JSJN Kontinjen Perak 2016 itu.

Bahan berkenaan membabitkan 3,000 kes yang dirampas antara tahun 2002 sehingga 2016 di Perak, dilupuskan atas perintah mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 4:07 PM