Anggota APM mengambil butiran mangsa banjir. FOTO IHSAN APM
Anggota APM mengambil butiran mangsa banjir. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah menurun kepada 292 orang daripada 79 keluarga berbanding 546 mangsa daripada 160 keluarga, selepas semua tujuh Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di Baling ditutup sepenuhnya, 2 petang hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, setakat 4 petang hari ini, hanya tiga PPS di tiga daerah iaitu Pokok Sena, Kota Setar dan Pendang masih aktif.

Beliau berkata, seramai 279 mangsa banjir daripada 90 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut.

Katanya, antara PPS ditutup adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, SK Tanjung, Pari, SK Keda, SK Pulai, SK Tungku Putera, SK Titi Gantung dan Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom.

"Bagaimanapun mangsa banjir di Pendang masih bertambah iaitu 207 orang daripada 53 keluarga berbanding 199 orang (51 keluarga) yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah.

"Selain itu, mangsa banjir ditempatkan di PPS Surau Permatang di Pokok Sena pula masih kekal 22 orang daripada lapan keluarga," katanya.

Mohd Muaz berkata, jumlah mangsa banjir di PPS SK Langgar di daerah Kota Setar terus meningkat 63 orang daripada 18 keluarga berbanding 46 mangsa daripada 11 keluarga yang dilaporkan pada 8 pagi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan terjejas banjir dan membantu memindahkan mangsa ke PPS berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 5:59 PM