ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan rumah yang terjejas akibat dinaiki air. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan rumah yang terjejas akibat dinaiki air. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sehingga 12 tengah hari, jumlah mangsa banjir di empat daerah di Kedah menurun kepada 821 orang berbanding 840 orang pada 8 pagi.

Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut ditutup iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir di Sik dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Hitam di Kubang Pasu.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah mangsa banjir itu membabitkan 217 keluarga dengan Kota Setar menempatkan mangsa banjir teramai iaitu 519 orang daripada 138 keluarga di enam PPS.

Katanya, PPS itu adalah SK Langgar (80 mangsa, 23 keluarga); SK Suka Menanti (14 mangsa, 3 keluarga); SK Darul Hikmah (114 mangsa, 31 keluarga); SK Convent (89 mangsa, 23 keluarga) dan SMK Convent (163, 44 keluarga).

"Sementara itu SMK Simpang Kuala menempatkan 59 mangsa daripada 14 keluarga.

"Bagi Pendang, terdapat 281 mangsa (74 keluarga) ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Rakan Sukan Tanah Merah (200 mangsa, 49 keluarga) dan Dewan Cenderawasih (81 mangsa, 25 keluarga)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Muaz berkata, Pokok Sena masih mempunyai empat mangsa (sekeluarga) yang ditempatkan di PPS SK Tualang, manakala SK Sik menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 2:53 PM