MAYAT mangsa kemalangan di lokasi kejadian.
MAYAT mangsa kemalangan di lokasi kejadian.
Ahmad Ismail


Segamat: Identiti empat mangsa termasuk tiga maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 176 Johor Bahru -Seremban di sini, malam tadi, sudah dikenal pasti.

Dua mangsa yang maut di tempat kejadian adalah dua beradik, Thomas Tio Jia Wang, 19, dan Tio Kah Yong, 20, menaiki kenderaan Ford Fiesta, manakala seorang lagi mangsa maut, Ab Razak A Ghani, 64, yang memandu Mitsubishi Storm, disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Mangsa yang cedera adalah penunggang motosikal, M Mahendran, 22.

Ketua Polis Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Jia Wang dan Kah Yong dalam perjalanan dari arah Labis ke Segamat.

"Kereta dinaiki mereka terlanggar motosikal ditunggang Mahendran dari arah sama.

"Kereta mereka kemudian hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Mitsubishi Storm dipandu Ab Razak dari arah Segamat menghala ke arah Tenang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Jia Wang dan Kah Yong mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan manakala Ab Razak cedera di bahagian dalaman perut.

Mahendran yang juga operator kilang cedera ringan di bahagian pinggang sebelah kanan dan motosikal ditungganginya turut rosak.

"Kejadian berlaku di jalan lurus serta permukaan jalan licin disebabkan selepas hujan dan persekitaran gelap.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Berita berkaitan:

  • 3 maut kemalangan tiga kenderaan [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 1:45 PM