Ahmad Ismail.


Segamat: Tiga maut manakala seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 176 Jalan Johor Bahru-Seremban di, sini, malam tadi.

Kejadian pada 8.30 malam itu membabitkan sebuah kereta Ford Fiesta, kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm serta sebuah motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Marzuki Ismail berkata, sebaik mendapat maklumat kejadian, dua jentera dengan kekuatan 10 anggota ke lokasi kejadian diketuai Pegawai Bomba Kanan II Kenny Ismol Abd Rahman.

"Setibanya di tempat kejadian, terdapat empat mangsa lelaki terbabit dalam kejadian, dan kesemuanya beralamat di sekitar Segamat dan Johor Bahru.

"Pasukan keluaran operasi (PKO) mengeluarkan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun yang menaiki Ford Fiesta yang tersepit di dalam kereta.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi lelaki berusia 64 tahun yang menaiki Mitsubishi Storm parah, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

ANGGOTA bomba membantu mangsa kemalangan di KM 176 Jalan Johor Bahru- Seremban di Segamat.
ANGGOTA bomba membantu mangsa kemalangan di KM 176 Jalan Johor Bahru- Seremban di Segamat.

Sementara itu, Marzuki berkata, penunggang motosikal lelaki berusia 22 cedera ringan di bahagian pinggang dan menerima rawatan di HDS.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HDS bagi bedah siasat. Operasi ditamatkan pada 10.35 malam dan punca kemalangan masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 11:53 AM