PUSAT peranginan Mari-Mari Pulau Sepanggar mengambil inisiatif memasang jaring perangkap sampah bagi memastikan pantai sentiasa terjaga dan bersih. FOTO Malai Rosmah Tuah
PUSAT peranginan Mari-Mari Pulau Sepanggar mengambil inisiatif memasang jaring perangkap sampah bagi memastikan pantai sentiasa terjaga dan bersih. FOTO Malai Rosmah Tuah
Fardy Bungga
fardy@nstp.com.my


BUKAN setakat sisa domestik biasa, malah peti sejuk, televisyen dan 'bumper' kereta antara timbunan sampah-sarap yang hanyut dari tanah besar di Kota Kinabalu ke pusat peranginan di kawasan pulau sekitar perairan daerah ini.

Berikutan itu, ada pengusaha pusat peranginan terpaksa memasang jaring perangkap dan mengutip sampah setiap hari bagi memastikan pantai sentiasa terjaga dan bersih.

Inisiatif itu dilakukan pusat peranginan Mari-Mari Pulau Sepanggar di Kota Kinabalu, bertujuan mengelak imej kawasan pelancongan diusahakan mereka terjejas, terutama dalam kalangan pelancong asing.

Difahamkan, pekerja pusat peranginan itu terpaksa menghantar lebih 150 karung sampah ke tanah besar antara tiga hingga empat hari sekali untuk dilupuskan dengan kebanyakan sampah didakwa datang dari kawasan perkampungan atas air dan bandar.

Tinjauan mendapati, kebanyakan sampah-sarap yang dikutip daripada perangkap jaring yang dipasang ialah beg plastik, botol minuman, lampin pakai buang serta sisa domestik lain.

Pengurus Mari-Mari Pulau Sepanggar, Jesika Maiba, 27, berkata, setiap hari seawal 6.30 pagi, beberapa pekerja ditugaskan mengutip sampah yang terperangkap di jaring bagi memastikan ia dikutip dan dibersihkan sebelum ketibaan rombongan pelancong sekitar 10 pagi.

"Kami terpaksa melakukan aktiviti mengutip sampah setiap hari. Sekiranya tidak dilakukan, sampah-sarap akan ‘mencacatkan’ pemandangan pulau ini dan memberi imej buruk kepada pusat peranginan kami.

"Jika cuaca kurang berangin dan ombak perlahan, tidak banyak sampah hanyut ke sini tetapi apabila air pasang, jaring yang dipasang memerangkap begitu banyak sampah," katanya kepada NSTP.

Jesika berkata, pelbagai jenis sampah dapat dikutip dari perairan pulau itu malah mereka pernah menemui televisyen dan peti sejuk hanyut berhampiran pusat peranginan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya berharap pihak berwajib atau kerajaan dapat mencari langkah terbaik bagi membantu menyelesaikan masalah sampah.

"Kerajaan juga perlu mengetatkan undang-undang untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata, terutama yang tinggal di kawasan tepi pantai.

"Setiap hari kami terpaksa membersihkan sampah-sarap dari luar, saya percaya sepanjang tahun ini kami mungkin sudah mengutip lebih 20 tan sampah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 1:44 PM