SUKARELAWAN Geng Plastik Ija (GPI) memungut pelbagai jenis sampah-sarap di Pantai Pandak. FOTO Bernama
SUKARELAWAN Geng Plastik Ija (GPI) memungut pelbagai jenis sampah-sarap di Pantai Pandak. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Keindahan kawasan pantai sepanjang 244 kilometer di Terengganu yang berlatarbelakangkan kepulauan Laut China Selatan sememangnya memukau setiap mata memandang.

Namun pemandangan lautan biru yang mempesonakan itu ada kalanya dicacatkan dengan 'kehadiran' sampah-sarap di pesisir pantai, angkara sikap individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati.

Kecewa dengan keadaan itu, kira-kira 100 ahli 'Geng Plastik Ija' (GPI) ('Ija' bermaksud hijau dalam dialek Terengganu) yang antaranya golongan profesional, sepakat mengambil inisiatif mengutip sampah dan membersihkan kawasan pantai serta pulau pada setiap hujung minggu.

Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata, sejak pertubuhan itu diwujudkan pada 2017, setiap minggu sudah menjadi kebiasaan buat para ahli memakai kemeja-T rasmi berwarna hijau dan membawa plastik sampah yang juga berwarna hijau mengutip sampah-sarap di sekitar pantai.

"Pada mulanya hanya saya dan isteri Normazita Ali, 45, sahaja yang melakukan aktiviti ini secara sukarela kerana kami selalu menghabiskan waktu petang dengan berjalan-jalan di pantai. Namun kami berasa 'sakit mata' melihat begitu banyak sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung jadi kami pun mula mengutip sampah.

"Selepas itu ada pula rakan-rakan kami yang berminat untuk turut serta (mengutip sampah) dan mereka menguar-uarkan aktiviti ini di media sosial. Kemudian ahli kami semakin berkembang sehinggalah tertubuhnya GPI ini," kata jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas yang berumur 52 tahun itu ketika ditemui Bernama pada program pembersihan Pantai Pandak di Chendering, di sini.

Zulkefli berkata, pada peringkat awal penubuhan, aktiviti GPI lebih banyak tertumpu di pantai sekitar Kemaman dan Dungun memandangkan kebanyakan ahli berasal dari kedua-dua daerah itu.

Namun pada 2019 seiring dengan pertambahan ahli termasuk dari Kuala Terengganu, GPI melebarkan aktiviti mereka ke kawasan pantai sekitar Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Besut.

Zulkefli berkata, selain menganggap apa yang dilakukan itu sebahagian daripada tanggungjawab fardu kifayah, mereka juga berharap ia dapat menjadi contoh yang baik dan membuka mata masyarakat untuk turut sama menjaga kebersihan pantai.

"Pantai ini adalah magnet rezeki. Apabila pantai cantik dan bersih akan ramai orang termasuk dari luar Terengganu datang berkunjung. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan kerana mereka boleh berniaga makanan dan sebagainya," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya turut membabitkan penyertaan kumpulan pelajar termasuk daripada pusat tahfiz dan sekolah sebagai usaha melahirkan golongan muda yang lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.

Sementara itu wakil GPI dari Kuala Terengganu, Dr Mohd Arif Hafizi, 31, berkata, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh ahli kumpulan itu apabila mereka berjaya mengumpul 389 kilogram sampah hanya dalam tempoh beberapa jam melakukan aktiviti pembersihan di Pantai Kemasik, Kemaman pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 9:33 AM