Antara 32 pengunjung premis hiburan yang dikenakan kompaun di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Abdul Razak Susur 1, malam tadi. FOTO OMAR AHMAD
Antara 32 pengunjung premis hiburan yang dikenakan kompaun di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Abdul Razak Susur 1, malam tadi. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 32 individu termasuk 13 wanita yang leka berhibur di pusat hiburan di Jalan Tun Abdul Razak Susur 1, di sini dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Konntinjen (IPK) Johor Asisten Superintendan Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, pengunjung pusat hiburan itu dikompaun RM5,000 seorang, manakala penjaga premis dikompaun RM25,000 dengan jumlah keseluruhan RM181,000.

"Serbuan dibuat malam tadi hasil maklumat awam. Apabila kita masuk terdapat muzik kuat dan lampu dipasang serta mereka sedang berhibur. Kita juga tidak nampak ada paparan kod pengimbas Mysejahtera di premis itu.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 38 tahun, manakala 13 individu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya yang mengetuai operasi itu, malam tadi.

Menurut Saifullah, pemeriksaan lanjut turut mendapati pusat hiburan itu beroperasi tanpa lesen sah.

Katanya, tindakan diambil mengikut Peraturan 17 kurungan satu Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 4:34 PM