SERAMAI 157 individu dikenakan kompaun keseluruhan RM157,000 menerusi serbuan yang dijalankan polis di dua pusat hiburan. FOTO ihsan POLIS JOHOR
SERAMAI 157 individu dikenakan kompaun keseluruhan RM157,000 menerusi serbuan yang dijalankan polis di dua pusat hiburan. FOTO ihsan POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 157 individu dikenakan kompaun keseluruhan RM157,000 menerusi serbuan yang dijalankan polis di dua pusat hiburan kawasan Taman Molek dan Taman Johor Jaya, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kompaun dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan pada 12.15 hingga 12.30 tengah malam itu, membabitkan individu berusia 16 hingga 66 tahun.

Katanya, operasi dijalankan Team Task Force Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerusi Op Noda/Bersepadu Musim Perayaan dan Tahun Baharu.

"Kesemua individu termasuk dua penjaga premis dan 12 pekerja itu dikompaun akibat ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

"Hasil serbuan mendapati kedua-dua premis tiada Lesen Hiburan Awam dan melanggar SOP PPN Fasa 4 yang digariskan.

"Turut ditahan, seramai 16 warga asing terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita yang langgar SOP PPN Fasa 4 dan untuk semakan ketulenan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor, selain Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 3:18 PM