SERAMAI 15 individu tempatan dikompaun keseluruhan berjumlah RM95,000 kerana melanggar SOP Fasa 4 PPN) di sebuah pusat hiburan di Taman Molek.FOTO Ihsan PDRM
SERAMAI 15 individu tempatan dikompaun keseluruhan berjumlah RM95,000 kerana melanggar SOP Fasa 4 PPN) di sebuah pusat hiburan di Taman Molek.FOTO Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini

Pasir Gudang: Seramai 15 individu dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM95,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah pusat hiburan di Taman Molek, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan awam.

Katanya, menerusi Op Noda/Op Cahaya yang dijalankan, pihaknya memeriksa 15 individu terdiri lapan lelaki dan tujuh wanita berusia 18 hingga 42 tahun termasuk seorang penjaga premis.

"Penjaga premis dikompaun RM25,000, manakala pelanggan dikompaun RM5,000 setiap seorang.

"Turut dirampas adalah 'mixing console', tiga pembesar suara, tiga mikrofon dan tiga resit perniagaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara.

Katanya, manakala kompaun pula dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit 2021.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak atau individu yang cuba menjalankan operasi pusat hiburan yang masih belum dibenarkan dibuka mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 3:34 PM