Jari tangan kiri peniaga air tebu hampir hancur selepas tersepit pada mesin air tebu pada kejadian di Taman Dato Shahbandar, Ampangan, Seremban hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Jari tangan kiri peniaga air tebu hampir hancur selepas tersepit pada mesin air tebu pada kejadian di Taman Dato Shahbandar, Ampangan, Seremban hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang lelaki yang juga peniaga air tebu terpaksa menahan kesakitan lebih 10 minit sebelum diselamatkan anggota bomba selepas jari tangan kirinya tersepit pada mesin air tebu pada kejadian di Taman Dato' Shahbandar, Ampangan di sini, hari ini.

Kejadian jam 11.30 pagi mengakibatkan jari tangan kiri mangsa yang berusia 50-an hampir hancur.

Ketua Balai Bomba Seremban Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.34 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Tiba di lokasi, kami dapati jari tangan kiri peniaga air tebu tersepit pada mesin berkenaan.

"Kami mengambil masa kurang lima minit untuk mengeluarkan jari tangannya daripada mesin itu sebelum membawanya ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan," katanya.

Katanya, pihaknya difahamkan, mangsa baru membuka gerainya dan sibuk memerah air tebu.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, jari tangan kiri termasuk ke dalam mesin pemerah terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 5:48 PM