Rosol Wahid
Rosol Wahid
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan menggantung atau menarik balik kuota di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) dan pemegang Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) dalam tempoh siasatan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki melakukan aktiviti penyelewengan subsidi minyak masak dan lain-lain barang kawalan berjadual.

Langkah tegas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 berkenaan bertujuan membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pada sama sama pihaknya juga mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi penguat kuasaan sempadan berkaitan melalui operasi bersepadu.

Katanya, kementerian juga melaksanakan 'Ops Ampai' bagi menangani penyelewengan gas cecair petroleum (LPG) bersubsidi di mana sektor dobi layan diri dikesan menggunakan bahan itu berbanding LPG industri.

"Kita juga melaksanakan 'Ops Goreng' bagi menangani penyelewengan minyak masak bersubsidi di mana menggempur kilang dan pembungkus minyak masak di seluruh negara.

"Kementerian juga membuat pindaan ke atas Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk memperketatkan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang ke atas mana-mana orang yang melakukan kesalahan penyeludupan barang-barang kawalan.

"Selain itu, kita membuka kertas siasatan di bawah pencegahan pengubahan wang haram (AMLATFAPUAA 2001) membabitkan kes ketirisan barang-barang kawalan,"katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk John Ambrose mengenai apakah usaha kementerian dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di sempadan di Dewan Negara, hari ini.

Rosol berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa agensi penguatkuasaan untuk membanteras penyeludupan beras terutamanya dari sempadan Thailand.

"Walaupun beras adalah di bawah bidang Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), kita sentiasa bekerjasama untuk memastikan tiada ketirisan yang berlaku," katanya.

Katanya, setakat ini terdapat 45 barang kawalan dan pihaknya sentiasa memastikan ia mencukupi di pasaran serta dijual pada harga mampu dibeli.

"Kita pastikan bekalan sentiasa ada dan harganya murah. Kita tak mahu harganya murah tapi susah nak dapat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 1:09 PM