Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperkenalkan logo khas pada barang kawalan dan barang subsidi di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, penggunaan kedua-dua logo itu dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan ini membabitkan 12 barangan dan ia akan memudahkan pengguna mengenali barang kawalan dan subsidi serta menangani isu penyeludupan.

Beliau berkata, terdapat 12 barangan disenaraikan di bawah barang kawalan berjadual, namun bukan semuanya barang bersubsidi.

"Barangan kawalan berjadual adalah gula, tepung gandum, minyak masak, baja, kerosin, bar bulat keluli lembut, petrol RON95, diesel, roti, gas petroleum cecair (gas memasak / LPG) simen dan ayam manakala tepung gandum, minyak masak (polibeg satu kilogram), LPG, petrol RON95 dan diesel pula adalah barang kawalan diberi subsidi kerajaan.

"Penggunaan logo ini dapat memudahkan pengguna mengenali barang bersubsidi dan barangan dikawal kerajaan, mengelakkan manipulasi peniaga serta memudahkan pemantauan oleh penguat kuasa dalam menangani isu ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan dan subsidi di sempadan negara.

"Buat permulaan, tepung gandum kegunaan am yang disubsidikan kerajaan menjadi barangan pertama menggunakan penandaan logo barangan subsidi selaras dengan pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik dalam tepung gandum bersubsidi.

"Pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dan mengikut kesesuaian dan kita sudah mengadakan libat urus dengan pengilang barangan subsidi dan kawalan ini untuk melaksanakan penggunaan logo ini," katanya.

DATUK Rosol Wahid  menunjukkan logo barang kawalan dan barang subsidi selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Banggol Manir. FOTO Ghazali Kori
DATUK Rosol Wahid menunjukkan logo barang kawalan dan barang subsidi selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Banggol Manir. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyerahan Bakul Makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sempena Aidiladha di Dataran Balai Raya Kampung Banggol Manir, di sini, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut mengingatkan penjual supaya tidak mengenakan syarat tertentu kepada pembeli bagi melindungi hak pengguna.

Beliau berkata, mereka boleh mengehadkan pembelian sesuatu barang sekiranya berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

"Sebagai contoh, penjual tidak boleh letak syarat beli beras, baharu boleh beli gula tetapi kita tidak halang kalau mereka mengehadkan penjualan sebagai contoh mengehadkan dua hingga tiga paket minyak masak bagi setiap pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 4:43 PM