BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan khas yang turut dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu ditugaskan untuk melakukan pemantauan di kawasan perumahan dan kampung di seluruh negara.

"Arahan sudah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk mengambil tindakan (pemantauan di seluruh negara).

"PDRM ada rekod siapa yang mendapat kebenaran rentas negeri dan siapa tidak," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

ANTARA sekatan jalan raya bagi memeriksa individu yang cuba melakukan rentas negeri. FOTO Aizuddin Saad
ANTARA sekatan jalan raya bagi memeriksa individu yang cuba melakukan rentas negeri. FOTO Aizuddin Saad

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mempunyai alasan munasabah serta mendapat kebenaran pihak polis terlebih dahulu.

"(Pergerakan rentas negeri) boleh dilakukan tetapi perlu ada alasan yang wajar serta mendapat permit polis," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata sebanyak 1,175 kenderaan dikesan cuba merentas negeri pada Sabtu, diarah berpatah balik.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk melupakan hasrat merentas negeri untuk balik kampung kerana ia sudah tentu menyusahkan diri sendiri apabila diarahkan untuk berpatah balik.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata tindakan kompaun kini boleh dikenakan oleh PDRM ke atas individu yang ditahan kerana merentas sempadan negeri tanpa kebenaran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 10:19 AM