Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kebenaran merentas negeri sempena Aidilfitri hanya boleh diputuskan selepas mendapat nasihat, pandangan serta penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap keputusan kerajaan berkenaan perkara itu perlu dibawa KKM ke Jawatankuasa Teknikal atau sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menjangkakan soalan kebenaran merentas negeri itu akan ditanyakan wartawan dalam sidang medianya, hari ini, katanya KKM yang membuat penilaian sama ada dibenarkan aktiviti itu atau tidak musim perayaan Aidilfitri pada Mei ini.

"Soalan rentas negeri ini adalah soalan 'favorite' pasti ditanya lebih-lebih lagi kerajaan sudah longgarkan sekatan untuk bazar Ramadan dan solat tarawih pada bulan puasa ini.

"Setiap keputusan kita buat adalah nasihat KKM selepas penilaian dilaksanakan. Namun perlu diingatkan seperti kita tahu rentas negeri penyumbang kluster penularan Covid-19. Terdapat 32 kluster berkaitan rentas negeri selepas Disember lalu kita benarkan aktiviti itu.

"Contohnya, di Sarawak zon hijau negeri terbaik, sekarang banyak kawasan merah, jingga termasuk kluster rumah panjang berkaitan aktiviti rentas negeri. Kelantan juga begitu sebelum Disember kita benarkan balik kampung.

"Selepas kita benarkan, lebih 65 peratus kawasan Kelantan jadi zon merah. Sebab itu kawalan rentas negeri perlu dilakukan dengan cara yang lebih tegas," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Beliau berkata, semua perlu berdoa semoga kes akan menurun dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan.

"Mei nanti mungkin kes jangkitan harian Covid-19 akan turun kepada 500 seperti jangkaan KKM. Sesiapa pun nak balik kampung sama-samalah kita berdoa kes akan menurun lebih cepat dari yang dijangkakan," katanya.

Susulan peningkatan kes Covid-19, kerajaan pada Januari lalu melarang pergerakan rentas negeri di seluruh negara selari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di enam negeri yang mencatatkan rekod kes tinggi Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka dan Johor, pada 26 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:19 PM