Nor Amalina Alias

SEPERTI dijangka, sebaik pengumuman kebenaran merentas negeri dilakukan, Kelantan mulai sesak dengan kepulangan perantau dari serata negeri.

Seawal 8 pagi, laluan sempadan Terengganu-Kelantan di depan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, dipenuhi pelbagai jenis kenderaan dari Johor, Pahang dan Terengganu.

Tinjauan mendapati lebih 500 kenderaan melalui kawasan berkenaan hanya dalam tempoh empat jam bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Turut mengambil peluang, orang ramai dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang yang melalui kawasan berkenaan untuk ke destinasi masing-masing.

Pengguna jalan raya, Siti Amirah Abdul Rahman, 33 berkata, dia menangis sebaik mendengar pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sudah lama memendam kerinduan terhadap ibu dan keluarga mentua yang berada di Kelantan.

Katanya, kali terakhir dia pulang ke kampung pada Januari lalu dan teruja pulang bersama tiga anak dan suami, Mohd Bakhtiar Ismail, 33, yang juga barisan hadapan bertugas sepanjang negara dilanda Covid-19.

"Kami rasa macam tak percaya dapat pulang ke kampung dan awal pagi lagi kami sudah bertolak dari Mersing, Johor.

"Anak paling teruja nak jumpa Tok Abah,Tok Ma dan Opah mereka selain seronok akhirnya dapat jalan jauh kerana sebelum ini hanya terperap dalam rumah," katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Politeknik Mersing dan suami, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran atau Inspektor Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Mersing tetap mengamalkan normal baru dan langkah keselamatan sepanjang perjalanan, meskipun teruja pulang seperti tidak singgah di banyak tempat dan mengamalkan penggunaan pensanitasi tangan.

PDRM dan ATM membuat pemeriksaan pemantuan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Bukit Yong yang menjadi sempadan antara Kelantan dan Terengganu pada hari  pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri yang dilaksanakan hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PDRM dan ATM membuat pemeriksaan pemantuan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Bukit Yong yang menjadi sempadan antara Kelantan dan Terengganu pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri yang dilaksanakan hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Azizol Abdullah, 35, berkata Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan aktiviti rentas negeri membolehkan dia pulang ke kampung halaman selepas terkandas ketika melakukan perjalanan ke Pahang.

Katanya, hari ini dia dapat kembali ke kampung dan melakukan tugasan harian seperti biasa.

"Apapun, kita perlu mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana negara belum pulih Covid-19 sepenuhnya, sama-sama kita jaga kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, sekatan jalan raya (SJR) dilakukan bagi melancarkan aktiviti keluar masuk kenderaan ke Kelantan.

Katanya, selain itu tumpuan turut diberikan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (Pati) dan penyeludupan barangan terlarang seperti dadah.

"Kita periksa setiap kenderaan berat seperti lori dan bas bagi memastikan aktiviti salah tidak terlepas daripada sekatan rentas negeri kerana mungkin pihak tertentu ambil kesempatan dengan kebenaran diberikan kerajaan.

"Bagaimanapun, setakat ini perjalanan lancar dan tiada saman dikeluarkan kerana pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 4:41 PM