GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gangguan bekalan air tidak berjadual di 50 kawasan di sekitar ibu kota berikutan kebocoran paip pengepaman di Rumah Pam Segambut dijangka pulih sepenuhnya esok pada 9 malam.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, kerja-kerja pembaikan paip bocor sudah selesai pada 5.40 petang dan bekalan air mula disalurkan secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada lokasi kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki ini," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 dan sebarang pertanyaan serta aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 12:00 AM