Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemulihan bekalan air di 50 kawasan sekitar ibu kota berikutan kebocoran paip pengepaman di Rumah Pam Segambut semalam mencapai tahap 80 peratus sehingga 6 pagi hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, kawasan yang belum pulih adalah Anjung Tiara, Bukit Prima Pelangi, Bukit Segambut, Dutamas dan Taman Bukit Sri Bintang.

Turut terbabit Taman Flora Impian, Taman Prima Impian, Taman Seri Bukit Segambut, Taman Sri Bintang dan Taman Sri Sinar.

Elina berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Pengguna yang mendapat bekalan air dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 dan sebarang pertanyaan serta aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 8:45 AM