Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Saya dan dua anak kami menunggu suami kembali ke rumah dengan selamat. Hati ini terlalu risau memikirkan keadaannya di sana (dalam kebun sawit)," kata Norhayati Mohd Nusin.

Norhayati, 36, adalah isteri Jefri Ismail, 36, yang dilaporkan hilang di kebun kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap, sejak kelmarin.

Norhayati berkata, suaminya mengalami masalah kemurungan sejak Julai lalu dan mendakwa dia sering terdengar bisikan mengatakan orang setempat tidak menyukainya dan mengatakan dia kurang sihat.

Menurutnya, keadaan suaminya yang berkerja sebagai tukang rumah itu semakin serius sejak dua minggu lalu.

"Itu bisikan diceritakan kepada saya dan semuanya itu tidak berlaku, tiada sesiapa mengatakan seperti itu kepada suami.

"Sejak dua minggu lalu suami nampak lebih sedih dan selalu termenung. Dia bercakap seorang diri dan kadang-kadang akan menangis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia tidak terlalu melayan dakwaan suaminya itu kerana tidak mahu keadaan suami semakin serius, sementara berusaha mengubati suaminya.

"Saya beritahu keluarga mengenai suami dan kami sepakat mahu membawanya berubat pada Selasa.

"Tetapi apabila saya pulang ke rumah pada waktu tengah hari (pada hari kejadian) suami sudah tiada dan gagal dihubungi," katanya.

Norhayati berkata, dia dan dua anak iaitu lelaki berusia 14 tahun dan perempuan berusia 10 tahun khuatir dengan keselamatan suami.

"Tiada apa yang saya harapkan selain suami segera kembali ke dalam keadaan selamat atau apa jua keadaanya. Saya sudah dua kali mengikut operasi mencarinya.

"Kami berusaha dengan pelbagai cara termasuk membuat solat hajat dan membaca surah Yaasin supaya dia segera ditemui," katanya.

Setakat ini, Jefri masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada 6 petang dan akan disambung pagi esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid turut hadir meninjau lokasi pencarian SAR.

Mior Faridathrash berkata, setakat ini tiada petunjuk baharu ditemui selain motosikal mangsa yang dijumpai pada hari kejadian.

"Di hujung (ladang sawit) ada perkampungan Orang Asli dan kita minta kalau mereka ada melihat (atau mempunyai sebarang maklumat boleh memaklumkan kepada kita)," katanya.

Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:14 PM