Kesan tapak kaki gajah yang ditemui berdekatan pokok kelapa yang dimusnahkan haiwan terbabit. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Kesan tapak kaki gajah yang ditemui berdekatan pokok kelapa yang dimusnahkan haiwan terbabit. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


SUAMI isteri dikejutkan dengan penemuan kesan tapak kaki dan najis gajah berhampiran pokok kelapa yang tumbang di halaman rumah mereka di Kampung Air Kayan Jedok, Jeli, pagi ini.

Norhayati Zakaria, 44, berkata, dia dan suaminya, Zakaria Yusoff, 48, hanya menyedari kejadian itu jam 7.45 pagi tadi.

"Pada jam 1 pagi suami ada terdengar seperti lembu meragut rumput berhampiran namun tidak menghiraukan bunyi itu sebelum terus menyambung tidur.

"Hanya pada pagi ini, kami terkejut pokok kelapa berusia 17 tahun itu tumbang disebabkan serangan gajah dewasa berdasarkan penemuan kesan tapak kaki dan najis di sekitar kawasan berkenaan," katanya hari ini.

Menurutnya, haiwan liar itu dipercayai datang dari bukit berhampiran kawasan perkampungan untuk mencari makanan di sini.

"Ini kejadian pertama gajah memasuki halaman rumah dan kami sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Jeli untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pegawai PERHILITAN Jeli, Mohd Ismail Awang, mengesahkan kejadian selepas menerima aduan mangsa.

"Anggota kita akan cuba mengesan gajah terbabit dan penduduk dinasihatkan tidak bertindak sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 9:25 PM