Sayani Saidon (kiri) menyantuni pelancong kanak-kanak ketika meninjau suasana di Pantai Chenang, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Sayani Saidon (kiri) menyantuni pelancong kanak-kanak ketika meninjau suasana di Pantai Chenang, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Pelancong yang mahu mengunjungi Pantai Chenang dan Tengah di sini, dinasihatkan sentiasa peka terhadap cuaca buruk susulan peralihan angin monsun.

Ia berikutan hujan lebat, angin kencang dan ombak besar kebelakangan ini sekali gus membahayakan pengunjung pantai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Kedah, Sayani Saidon berkata, sikap memandang remeh kepada perubahan cuaca buruk boleh mengundang tragedi buruk kepada pelancong yang bercuti susulan kebenaran gelembung pelancongan ke pulau peranginan itu.

"Harus sentiasa peka. Kelalaian boleh mengundang bahaya sehingga membabitkan kehilangan nyawa kepada diri sendiri serta ahli keluarga.

"Kes-kes kehilangan nyawa menerusi aktiviti air (kawasan pantai) kerap berlaku ketika musim peralihan monsun seperti kini," katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Di Air Peringkat Negeri di Pantai Chenang di sini, semalam.

Sayani berkata, pada masa sama, bomba turut mengingatkan pengunjung pantai dan pengusaha sukan air perlu mematuhi arahan pihak berkuasa supaya menghentikan semua aktiviti pada jam 7 malam.

"Mereka perlu patuh kerana peraturan dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjamin keselamatan semua pengunjung dan mengelak tragedi buruk yang membawa kepada penyesalan berpanjangan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan fasa peralihan angin monsun di negara ini bermula pada 24 September lalu dan dijangka akan berterusan sehingga awal November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah, dipetik sebagai berkata permulaan fasa itu menandakan bermulanya Monsun Timur Laut dan berakhirnya Monsun Barat Daya sejak 19 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 2:42 PM