Sayani Saidon (kiri sekali) memberi kata semangat kepada pemenang Sijil Praktikal Terbaik PBB SWART Mohammad Azuwan Abu Hassan (dua dari kanan) dan penyandang Sijil Praktikal Terbaik PBB SWART Mohammad Azuwan Abu Hassan pada Majlis Menyampaikan Tauliah Kursus Asas Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) di Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN

Hamzah Osman

Langkawi: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 35 laporan kejadian lemas sepanjang tujuh tahun lalu di sekitar pulau ini.

Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon berkata, daripada jumlah itu terdapat seramai 28 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala enam cedera dan seorang dilaporkan selamat.

"Kes yang diterima itu membabitkan kejadian lemas di beberapa pantai tumpuan awam, kolam takungan, Tasik Dayang Bunting dan kawasan air terjun popular.

"Walaupun angka itu untuk tempoh tujuh tahun sejak 2016, namun ia tetap membimbangkan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan tauliah kepada sembilan peserta Kursus Asas Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) di Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi di sini, hari ini.

Sayani berkata, pihaknya pandang serius perkara itu kerana kejadian lemas dilaporkan sering berlaku di kawasan pantai tumpuan awam terutamanya ketika musim peralihan monsun.

Mengulas penubuhan PBB SWART di pulau itu, beliau berkata, enam PBB SWART akan bertugas mengawasi Pantai Chenang setiap hari sekali gus menjadi pasukan perintis di negeri itu.

"Tugas utama mereka adalah membuat rondaan dan pemantauan berterusan dalam tempoh 12 jam mulai 8 pagi hingga 8 malam, sebagai langkah mengurangkan kes mangsa lemas di kawasan berisiko.

"Pasukan ini (PBB SWART) akan dikembangkan dan diperluaskan ke beberapa lokasi berisiko lain di negeri ini termasuk kawasan pantai, air terjun dan peranginan tumpuan ramai," katanya.

Pada majlis itu, Sayani turut menyampaikan sijil kepada pelatih Teori Terbaik yang dimenangi PBB SWART Sharul Nizam Zainol dan Sijil Praktikal Terbaik pula disandang PBB SWART Mohammad Azuwan Abu Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 2:54 PM