Hasni Mohammad (dua dari kiri) merasmikan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Bangunan Dato' Muhamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Hasni Mohammad (dua dari kiri) merasmikan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Bangunan Dato' Muhamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Kerajaan negeri akan memberi perhatian khusus terhadap kanak-kanak yang menjadi yatim atau yatim piatu akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, program khas turut dirangka bagi menumpukan soal kebajikan golongan berkenaan berdasarkan situasi mereka.

"Ketika kita membuat bajet negeri baru-baru ini ada membincangkan tentang anak yatim atau yatim piatu akibat Covid-19. Kerajaan negeri mengakui bahawa mereka perlu disantuni selepas kehilangan ibu bapa.

"Oleh kerana luar biasa musibah yang menimpa mereka, kerajaan negeri akan memikirkan satu program khusus untuk anak-anak ini seiring dengan keadaan kita berdepan pandemik Covid-19.

"Kita dalam peringkat memperhalusi dan saya yakin ia bertujuan menjaga kebajikan anak-anak itu untuk meringankan beban keluarga yang menjaga termasuk persediaan persekolahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Bangunan Dato' Muhamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Pusat jagaan yang dibangunkan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) itu boleh menempatkan lebih 50 kanak-kanak berusia 12 bulan hingga empat tahun.

Pusat penjagaan itu akan memberi manfaat kepada kakitangan awam yang bertugas di sekitar Kota Iskandar, selain terdapat empat modul yang dibangunkan bagi membantu pelatih menguruskannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:44 PM