Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan Johor sudah membelanjakan RM1.5 juta bagi membantu kanak-kanak serta pelajar yang kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19, sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), Nurul Naqiah Fadzil, berkata peruntukan itu bagi menanggung seramai 1,280 anak yatim piatu berkenaan yang kini dijadikan anak angkat kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan Johor menyediakan peruntukan awal RM3 juta dan sudah membelanjakan 50 peratus daripada jumlah berkenaan.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi program Anak Johor Prihatin yang dimulakan sejak tahun lalu, bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat sokongan moral dan disantuni sehingga melanjutkan pengajian di kolej atau universiti.

"Anak Johor Prihatin adalah satu daripada inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor (Kebajikan) yang diumumkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor sejak tahun lalu.

"Ia adalah komitmen dan jaminan berterusan serta jangka panjang dalam memastikan hal kebajikan, pendidikan selain kesihatan emosi anak-anak ini dijaga sehingga mereka berusia 21 tahun.

"Antara bantuan diberikan ialah bantuan wang tunai berjumlah RM100 sebulan kepada anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau seorang daripada mereka akibat Covid-19, hingga mereka tamat persekolahan.

"Terdapat juga bantuan tunai RM2,000 setahun kepada anak yatim piatu yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain bantuan simpanan pendidikan dan perlindungan insurans sehingga berumur 21 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program itu oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Hadir sama, Setiausaha Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Nurul Naqiah berkata, YPKDT bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi mengenal pasti anak-anak serta pelajar yang kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka akibat wabak itu.

Katanya, permohonan mereka yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 bagi menyertai inisiatif Anak Johor Prihatin itu juga masih terbuka.

"Kita juga bekerjasama rapat dengan sekolah di negeri ini supaya dapat mengenal pasti anak-anak serta pelajar dari golongan berkenaan.

"Selain bantuan wang tunai, insurans kesihatan dan pendidikan, kami juga menyediakan bimbingan kaunseling selain membawa mereka berekreasi termasuk ke taman tema, berkelah, kem motivasi atau menonton wayang supaya bebanan emosi mereka dapat dipantau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 2:53 PM
MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani bergambar bersama penerima selepas Majlis Pelancaran Anak Johor Prihatin anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) di Legoland Resort, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani bergambar bersama penerima selepas Majlis Pelancaran Anak Johor Prihatin anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) di Legoland Resort, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan