X
NICOLE (kanan) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Pangsapuri Arowana, Seremban 2 semalam. FOTO Mohd Amin Jalil
NICOLE (kanan) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Pangsapuri Arowana, Seremban 2 semalam. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


Seremban: Seramai 121 kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun di Negeri Sembilan kehilangan sama ada ibu atau bapa akibat Covid-19 termasuk tujuh menjadi yatim piatu, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, tujuh kanak-kanak itu membabitkan lima keluarga di daerah ini, Port Dickson dan Jempol.

Katanya, semua anak-anak yatim piatu itu kini tinggal bersama penjaga sama ada nenek atau saudara mara terdekat.

"Secara keseluruhannya setakat ini 121 kanak-kanak dan remaja membabitkan 80 keluarga menjadi yatim dengan tujuh daripada mereka adalah yatim piatu.

"Kesemua mereka yang meninggal dunia itu adalah akibat Covid-19," katanya selepas majlis penyampaian bakul makanan kepada keluarga terkesan Covid-19 di Pangsapuri Arowana Seremban 2, di sini petang semalam.

Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang berkata, kerajaan negeri akan memberikan perhatian terhadap kanak-kanak yang menjadi yatim piatu.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keperluan kehidupan dan pendidikan mereka bagi memastikan nasib serta masa depan kanak-kanak itu dibela.

"Sebarang keperluan mereka kita akan bantu mengikut kesesuaian semasa," katanya yang menyerahkan bantuan bakul makanan berkenaan kepada 14 keluarga.

Dalam pada itu katanya, hanya seramai 126 keluarga di negeri ini menerima Bantuan Khas Covid-19 bernilai RM5,000 yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) setakat 15 Ogos lalu.

Menurutnya, daripada 1,000 keluarga yang terbabit dengan kematian Covid-19, tidak sampai separuh menerima bantuan khas berkenaan.

"Kita akan berhubung dengan pihak berkaitan mengapa masih ramai yang belum menerima bantuan khas.

"Setiap permohonan dilakukan dalam talian dan mereka hanya perlu mengemukakan beberapa dokumen tertentu bagi membolehkan permohonan itu diluluskan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 591 individu yang dikuarantin serta hilang sumber pendapatan menerima bantuan RM100 sehari menerusi bantuan khas Covid-19 oleh Nadma membabitkan jumlah RM807,800.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 10:36 AM