PAKAR Pergigian Kesihatan Mulut Populasi dan Pencegahan Klinikal Dr Nor Faezah Bohari berkongsi tips pemakanan sihat dan diet khas untuk kanak-kanak Sindrom Down. FOTO Ihsan UiTM
PAKAR Pergigian Kesihatan Mulut Populasi dan Pencegahan Klinikal Dr Nor Faezah Bohari berkongsi tips pemakanan sihat dan diet khas untuk kanak-kanak Sindrom Down. FOTO Ihsan UiTM
HM Digital


FAKULTI Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Bakti Komunti Pergigian Keperluan Khas di Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Selangor, baru-baru ini.

Program diadakan di pusat jagaan dikenali sebagai Pusat Jagaan ORKIDS: Our Kids Are Special turut mendapat kerjasama Persatuan Isteri dan Pekerja Wanita Petronas (PETRONITA).

Penganjuran program itu bagi memperkenalkan perkhidmatan pergigian keperluan khas oleh fakulti terbabit sekali gus mendekati kumpulan sasaran.

Dekan Fakulti Pergigian UiTM Prof Dr Mohamed Ibrahim Abu Hassan berkata, pelbagai aktiviti diadakan seperti konsultasi individu, rawatan mudah, ceramah pemakanan sihat, promosi kesihatan mulut dan pemberusan gigi bersama.

“Program itu adalah inisiatif Fakulti Pergigian UiTM untuk membuka akses rawatan dan penjagaan pergigian terus kepada kumpulan sasaran.

“Ia juga bagi menyampaikan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mulut dan gigi kepada penjaga dan keluarga kanak-kanak Sindrom Down,” katanya.

Hadir sama, Presiden Pusat Jagaan ORKIDS Izhar Hadafi.

Program diketuai Pensyarah Pergigian Kanak-Kanak dan Keperluan Khas Dr Ilham Wan Mokhtar bersama lapan pakar pergigian, 15 sukarelawan (siswazah dan pasca siswazah), dua jururawat dan empat staf klinikal sokongan.

Menurutnya, program itu memberi pendedahan kepada pelajar pergigian mengenai kaedah memberi perawatan dan nasihat pergigian kepada kumpulan sasaran untuk dipraktikkan di alam pekerjaan kelak.

Katanya, kolaborasi itu adalah titik tolak kepada program lebih baik pada masa depan, sekali gus berharap berterusan untuk jangka masa yang panjang.

Pusat Jagaan ORKIDS adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat pengajaran dan penjagaan kanak-kanak sindrom down berusia enam hingga 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 8:20 PM