DATUK Hasni Mohammad (dua dari kiri) merasmikan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Bangunan Dato' Muhamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO Nurul Amanina Suhaini
DATUK Hasni Mohammad (dua dari kiri) merasmikan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Bangunan Dato' Muhamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Pergolakan politik yang berlaku di Melaka sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan boleh berlaku di negeri yang mempunyai majoriti tipis termasuk Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau tidak menolak perkara itu boleh berlaku di negeri ini namun sehingga kini tiada keadaan yang boleh membawa Johor ke arah situasi berkenaan.

"Ia boleh berlaku di mana-mana negeri yang mempunyai majoriti tipis (sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan) termasuk Johor.

"Saya tidak menolak ataupun tidak mendakwa keadaan itu tidak boleh berlaku. Ia juga boleh berlaku di Johor atau mana-mana negeri. Setakat ini tiada cerita yang boleh membawa Johor kepada keadaan demikian," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Bangunan Dato' Muhamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut situasi semasa membabitkan kerajaan Melaka, beliau berkata, ia perlu melalui proses keasbahan kepimpinan kerajaan negeri yang dibuat di dalam DUN.

"Kalau hari ini ada empat yang memutuskan untuk keluar atau menarik sokongan, maka ia perlu disahkan dalam DUN.

"Sekiranya DUN membuat keputusan untuk pembubaran, ia terpulang kepada kerajaan pusat untuk bersetuju atau tidak pilihan raya diadakan kerana selepas tiga tahun kerajaan yang sedia ada tidak perlu mengadakan pilihan raya," katanya.

Terdahulu, Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat-kuasa semalam.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Untuk rekod, Johor adalah negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

UMNO Johor menerajui kepimpinan negeri dengan 14 kerusi; diikuti Bersatu 12 kerusi; MIC (dua); dan PAS (satu) manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi; Amanah (enam); dan PKR (tujuh).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:09 PM