Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Murid dan pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor hanya akan kembali ke sekolah pada 10 Oktober atau Ahad depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata, kekeliruan timbul apabila beberapa ibu bapa murid dan pelajar di negeri itu menghubungi sekolah masing-masing bagi mendapatkan penjelasan.

"Seperti jadual yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), murid dan pelajar di Johor akan meneruskan pembelajaran mereka menerusi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR). Hanya murid dan pelajar dari kelas dan tingkatan tertentu di Johor akan mula kembali ke sekolah, Ahad depan.

"Pengumuman sebelum ini sememangnya menyatakan murid dan pelajar dari kelas dan tingkatan tertentu di negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mula bersekolah hari ini.

"Namun, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM adalah mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa, di mana Johor hanya beralih ke Fasa Dua PPN pada 24 September lalu," katanya ketika dihubungi.

Khamis lalu, KPM dilaporkan menetapkan perubahan pengoperasian sekolah mengikut fasa baharu akan bermula dua minggu selepas peralihan fasa.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Zainal Abas dilaporkan berkata, pembukaan sekolah hari inj dan esok adalah bagi negeri dalam fasa dua hingga empat PPN seperti diumumkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Pada 13 September lalu, KPM dilaporkan menegaskan pembelajaran bersemuka mulai hari ini dan esok, dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam PPN.

Sekolah dilaporkan tidak dibuka pada negeri berada dalam Fasa Satu PPN manakala negeri dalam fasa dua pula, sekolah rendah hanya dibuka hanya untuk murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala bagi sekolah menengah hanya membabitkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua.

Bagi negeri fasa tiga pula, selain SKPK dan PPKI, murid pra-sekolah akan dibenarkan hadir ke sekolah, sementara untuk sekolah menengah pula, ia membabitkan pelajar tingkatan lima dan calon STPM yang lain.

Untuk negeri fasa empat pula akan murid dan pelajar dibenarkan ke sekolah secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 11:16 AM