Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Hanya pelajar Tingkatan Lima dan Enam bagi sesi 2020 serta 2021 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan menjalani pembelajaran secara bersemuka di sekolah mulai 20 Januari ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, penuntut Semester 4 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) juga dibenarkan menjalani pembelajaran secara bersemuka.

Bagaimanapun, katanya, murid dan pelajar lain termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG) yang tidak terbabit peperiksaan utama perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semua murid sekolah rendah, pelajar Tingkatan Satu, Empat, Lima serta IPG dibenarkan mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka.

"Pelajar Tingkatan Dua dan Tiga pula akan mengikuti PdPR sehingga 7 Mac dan boleh mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka mulai 8 Mac depan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, penuntut kolej matrikulasi akan mengikuti pembelajaran secara hibrid di semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

RADZI pada sidang media mengenai sesi persekolahan 2021 dan pengoperasian institusi pendidikan di kawasan PKP, PKPB, PKPP. FOTO Rohanis Shukri
RADZI pada sidang media mengenai sesi persekolahan 2021 dan pengoperasian institusi pendidikan di kawasan PKP, PKPB, PKPP. FOTO Rohanis Shukri

Mengenai pentaksiran kemasukan sekolah khusus (PKSK), beliau berkata, ia akan diadakan antara 20 hingga 29 Januari bagi pelajar tingkatan satu manakala 15 hingga 25 Februari bagi pelajar tingkatan dua.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 5:23 PM