GAMBAR hiasan. Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan operasi institusi pendidikan di bawahnya yang beralih fasa mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan selepas dua minggu.

KPM berkata, sehubungan itu, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Selangor dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal pada 4 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN.

Menurutnya, ini membabitkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK),Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

"Pembukaan juga membabitkan murid tingkatan enam, semester dua, International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun dua, Program Prauniversiti Semester tiga di Sekolah Sukan Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).

"Bermula esok, negeri Selangor dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 3 PPN," katanya.

"Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan mengikut ketetapan Fasa 3 PPN akan bermula pada 18 Oktober ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ia membabitkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, IBD, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

"Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah pula kekal pada 10 Oktober ini untuk murid kelas Tingkatan enam Semester dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level).

"Memandangkan negeri Kedah akan beralih ke Fasa 2 esok, pengoperasian institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa 2 PPN hanya akan bermula pada 17 Oktober 2021," katanya.

Menurut KPM, selain itu, susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa 3 berkuat kuasa esok, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi zon ini kekal pada 4 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN.

"Pengoperasian institusi pendidikan di Zon Selatan negeri Sarawak berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.

"Merujuk pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Majlis Keselamatan Negara di beberapa kawasan, KPM juga ingin memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan bawah KPM yang terbabit adalah ditutup sepanjang tempoh ia berkuat kuasa," katanya.

Tambahnya, semua murid di kawasan yang terbabit perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

"KPM juga menyarankan ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 8:55 PM