Antara pelajar yang menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Antara pelajar yang menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Sebanyak 62.5 peratus pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun di seluruh negara sudah menerima dos pertama vaksin sehingga semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sebanyak 7.4 peratus pelajar dalam lingkungan umur sama sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin sehingga semalam.

"Bagaimanapun, Selangor mencatatkan peratusan pemberian vaksin yang agak rendah berbanding jumlah keseluruhan dengan 30.8 peratus menerima dos pertama, manakala 3.3 peratus pula sudah lengkap menerima suntikan dos kedua.

"Labuan pula mencatatkan peratusan menerima vaksin paling tinggi bagi golongan pelajar berkenaan dengan lebih 90 peratus peratus sudah menerima suntikan vaksin dos pertama dan 25.4 peratus pula sudah lengkap menerima dos kedua," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan hari pertama pengoperasian sekolah bagi pelajar Tingkatan Enam Semester Dua serta pelajar berkeperluan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, di sini, hari ini.

Hang Soon berkata, pihaknya mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan bagi melihat sendiri keadaan pembukaan sekolah pada hari ini.

"Berdasarkan pemerhatian dilakukan, saya mendapati proses kehadiran serta pembelajaran di sekolah ini berjalan lancar dengan semua 68 pelajar Tingkatan Enam Semester Dua di sekolah ini hadir pada hari ini.

"Di sekolah ini, terdapat seramai 88 pelajar berkeperluan khas dan 61 daripada mereka sudah mengisi borang menyatakan setuju untuk hadir ke sekolah, namun hanya 30 pelajar yang hadir pada hari ini," katanya.

Beliau berkata, jumlah kehadiran pelajar berkeperluan khas yang hadir ke sekolah berkenaan pada hari ini dilihat agak rendah.

"Meskipun jumlah kehadiran pelajar yang rendah, proses pembelajaran secara bersemuka tetap akan diteruskan. Bagi pelajar yang tidak hadir ke sekolah pula, modul pengajaran secara PdPR (Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah) kendiri akan disediakan.

"Hari ini, proses pembelajaran secara bersemuka baru sahaja bermula. Kami yakin akan lebih ramai pelajar akan hadir ke sekolah nanti," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran pelajar yang belum menerima vaksin hadir ke sekolah, beliau berkata, ada antara pelajar yang hadir belum menerima suntikan vaksin.

"Pelajar yang tidak menerima suntikan vaksin boleh hadir ke sekolah dan mereka tidak diasingkan di dalam kelas masing-masing ketika proses pembelajaran.

"Bagaimanapun, kami amat menggalakkan mereka divaksin dengan segera memandangkan sekolah ini juga dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 9:40 AM