LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: "Saya kenal lelaki itu Januari lalu ketika bekerja di sebuah kedai baju. Dia ada membeli baju dan saya membuat penghantaran baju yang dipesannya.

"Pada masa yang sama, lelaki itu juga turut memesan makanan yang saya jual dan beberapa kali dia membelinya sebelum kami menjadi rapat," kata seorang gadis berusia 28 tahun yang enggan dikenali.

Gadis berkenaan adalah anak kepada imam masjid yang berusia 65 tahun yang mengalami kerugian lebih RM55,800 selepas diperdaya oleh bakal menantu yang berusia 36 tahun.

Lelaki berkenaan mendakwa sebagai peniaga emas dan kambing perap membuat pinjaman wang dan emas dengan imam berkenaan untuk dijadikan sebagai modal perniagaan.

Mangsa berkata, lelaki itu juga pandai mengambil hati apabila berkunjung ke rumahnya beberapa kali, sekali gus menunjukkan dia seolah-olah serius dengan hubungan mereka.

"Kami menyerahkan wang kepada lelaki itu kerana percaya dengan perniagaan yang diusahakannya. Dia juga ada mendakwa ditipu oleh pelanggan atau pembekal barang.

"Lelaki itu juga sentiasa tunjuk bukti termasuk barangan perniagaan dan resit bayaran untuk meyakinkan saya dan ayah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mereka mengambil keputusan bertunang Julai lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada Oktober ini, namun mengambil keputusan membatalkannya selepas menyedari ditipu lelaki itu hingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Katanya, ayahnya membuat laporan pada 14 September lalu bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.

Berita berkaitan:

  • Lelaki perdaya bakal mentua direman 4 hari
  • Imam rugi lebih RM50,000 ditipu bakal menantu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 7:39 PM