KEADAAN air banjir yang masih bertakung di dalam dan luar rumah mangsa banjir di Kampung Baru Sri Gading, di sini hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
KEADAAN air banjir yang masih bertakung di dalam dan luar rumah mangsa banjir di Kampung Baru Sri Gading, di sini hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: "Setiap kali bencana banjir, muka-muka orang kampung ini lah yang akan pindah dan jadi penghuni di pusat pemindahan sementara (PPS)," itu luahan hati Nor Ikhwan Nasir, 46, mangsa banjir di Kampung Baru Sri Gading, di sini.

Katanya, bencana banjir berlaku setiap tahun dan ia seperti tiada kesudahan dengan banjir kelmarin adalah paling buruk.

"Hujan lebat tanpa henti selama tiga jam bermula 1 pagi, dan air mula masuk ke dalam rumah pada jam 4 pagi.

"Kami sekeluarga sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik di tempat yang tinggi sebelum air dalam rumah naik sehingga 0.5 meter," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Sri Gading dekat sini, hari ini.

Katanya, paras air tetap naik akibat pertembungan fenomena air pasang besar, selain sistem perparitan yang sudah lama tidak diselenggara.

"Kampung ini berada di kawasan agak rendah dan satu daripada punca utama kejadian banjir adalah pembangunan penempatan baru di sekitar kawasan kampung.

"Kawasan pembangunan berkenaan berada di tempat yang tinggi dan apabila hujan, air terus melimpah ke kawasan kampung yang lebih rendah," katanya.

Sementara itu, mangsa banjir, Abu Bakar Abdullah, 62, berkata masalah banjir kilat yang berlaku di Sri Gading dipercayai berpunca daripada sistem perparitan.

"Apabila hujan lebat rumput di dalam parit menghalang air dari mengalir ke sungai menyebabkan banjir kilat berlaku.

"Saya pun tidak tahu mengapa ia tidak ada dibersihkan. Saya harap pihak bertanggungjawab dapat memperbaiki sistem perparitan ini dengan segera," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat berkata, jumlah mangsa banjir di daerah ini menurun kepada 229 orang setakat jam 4 petang ini.

"Jumlah itu membabitkan 66 keluarga di sekitar Sri Gading dan menunjukkan penurunan berbanding 263 mangsa terdiri daripada 74 keluarga yang dilaporkan terjejas pada jam 12 tengah hari tadi.

"Kesemua mereka ditempatkan di PPS SMK Sri Gading," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 6:32 PM