KEADAAN rumah penduduk yang terjejas akibat banjir sejak dua hari lalu di dua kampung iaitu Kampung Batu 38  Darat dan Kampung Batu 38 Baroh. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN rumah penduduk yang terjejas akibat banjir sejak dua hari lalu di dua kampung iaitu Kampung Batu 38 Darat dan Kampung Batu 38 Baroh. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


"HUJAN berlaku hanya selama dua jam. Namun air banjir yang bertakung masih tidak surut sejak dua hari lalu," ujar penduduk Kampung Batu 38 Darat, Sabak Bernam, Selangor, Mohammed Ali Mohammed Zazuli, 82.

Menurutnya, dua kampung membabitkan Kampung Batu 38 Darat dan Kampung Batu 38 Baroh, masih ditenggelami 'banjir termenung' dan belum ada tanda akan surut.

Dia berkata, hujan lebat berlaku sekitar jam 3.30 pagi Jumaat lalu menyebabkan air dari parit di belakang rumahnya melimpah dan memenuhi kawasan sekitar kediamannya.

Katanya, kali terakhir banjir berlaku di kampung itu adalah pada tahun 2013.

"Sudah lama banjir tidak berlaku. Mungkin kedudukan kampung yang rendah serta hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir berlaku.

"Ada kemungkinan banjir termenung ini akan menjadi lebih teruk jika hujan berterusan. Walaupun air banjir menenggelamkan tingkat bawah rumah namun saya sekeluarga perlu menghadapi segala kemungkinan termasuk meletakkan barangan berharga di lokasi lebih tinggi," katanya ketika ditemui wartawan tadi.

Sementara itu menantunya, Mohd Azhar Nazri, 35, berkata, dia berharap pihak berwajib menyelenggara sistem perparitan dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian banjir semakin buruk.

"Kami dah tak sanggup nak hadapi banjir seperti ini lagi. Walaupun tidak membabitkan kerugian, kami khuatir ia akan menjejaskan keselamatan penduduk di sini," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kira-kira 11 rumah penduduk terjejas di mana air banjir masih bergenang di sekitar kediaman sedalam kira-kira 0.3 meter.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Rizam Ismail menerusi kenyataan di Facebook miliknya menggesa pihak berwajib mengambil perhatian dan tindakan bagi memastikan tiada parit atau saluran longkang yang tersumbat.

Saya mohon jadual pembersihan dan penyelenggaraan saliran air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar mengikut waktu ditetapkan selain pemantauan yang kerap perlu dilakukan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 4:15 PM