PARAKASH (kanan) bersama Dr Nur Es Naini (tiga kanan)  dan Mohd Zulhelmy (dua kanan) menyampaikan sumbangan barangan. FOTO Hazreen Mohamad
PARAKASH (kanan) bersama Dr Nur Es Naini (tiga kanan) dan Mohd Zulhelmy (dua kanan) menyampaikan sumbangan barangan. FOTO Hazreen Mohamad
Suraya Roslan


Shah Alam: The New Straits Times Press Berhad (NSTP) dengan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Nestle Malaysia Bhd (Nestle) tampil memberikan sumbangan 250 beg makanan kepada pasukan barisan hadapan dan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.

Pengurus Besar Jualan dan Pengedaran NSTP, M Prakash berkata, pihaknya berterima kasih kepada Bernas dan Nestle kerana menyumbang melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada masyarakat.

"Ini antara insiatif kita berterima kasih kepada penerima vaksin serta menggalakkan lagi orang ramai mengambil vaksin selaras dengan hasrat kerajaan.

"Sumbangan berbentuk barangan keperluan seperti beras, Nescafe, Maggi dan sebagainya mencecah RM50 sangat berguna dalam keadaan pandemik melanda negara," katanya ketika ditemui di IDCC, di sini, hari ini.

Prakash berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengadakan program yang sama di PPV lain.

Selain itu, Pengurus Perhubungan Media Bernas, Mohd Zulhelmy Ismail berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan NSTP, Nestle dan IDCC untuk menyumbang beras kepada penerima vaksin di sini.

"Kita bekalkan 250 beras ruji jenama Bernas untuk diagihkan kepada penerima vaksin.

"Ini juga salah satu moto kita iaitu 'kesejahteraan' untuk semua dan tanda sokongan dalam usaha membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurus PPV IDCC, Dr Nur Es Naini Awaluddin berkata, pihaknya menghargai usaha syarikat korporat memberi sumbangan kepada pasukan barisan hadapan dan penerima vaksin.

"Alhamdulillah, rezeki petugas di IDCC sentiasa murah dengan pelbagai sumbangan diberikan badan korporat," katanya.

Dr Nur Es Naini berkata, IDCC mempunyai lebih 500 petugas daripada pelbagai agensi dengan kapasiti boleh memuatkan 3,000 orang.

"PPV IDCC dijangka ditutup pada 4 Oktober ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:47 PM