BERNAMA

Putrajaya: Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam ditutup hari ini selepas 204 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu dijadualkan semula, katanya.

Menurutnya, kesemua 453 petugas PPV berkenaan menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) secara beramai-ramai pada 10 Julai lalu dan keputusan ujian saringan menunjukkan kesemua yang positif mempunyai nilai kitaran ambang (CT) lebih daripada 35 iaitu beban virus (viral load) yang rendah.

Menurut Khairy, 88 peratus atau kira-kira 400 petugas di PPV itu sudah divaksinasi, manakala baki 12 peratus sukarelawan belum divaksin mungkin disebabkan penggiliran petugas baharu, dan kemungkinan mereka yang positif itu mempunyai beban virus yang rendah kerana kebanyakan mereka sudah divaksinasi.

"Jangkitan di PPV IDCC adalah kes pertama membabitkan PPV. Berikutan kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang, sukar untuk kami pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain," katanya dalam sidang media di sini hari ini berkenaan situasi PPV IDCC.


Khairy menyarankan individu yang hadir janji temu vaksin di PPV berkenaan dari 9 Julai hingga semalam (12 Julai) untuk melakukan kawalan kendiri selama sepuluh hari dan menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya bergejala.

Menurutnya Petugas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) diarahkan untuk ke PPV IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari akan penutupan PPV berkenaan yang pemaklumannya dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.

Beliau berkata semua petugas PPV IDCC sebelum ini akan ditukarkan dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga supaya potensi jangkitan dapat dikurangkan.

"CITF akan terus meningkatkan semua usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya," katanya.

ORANG ramai menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin AstraZaneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO Arkib NSTP
ORANG ramai menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin AstraZaneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO Arkib NSTP

Tambah beliau Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sudah diminta untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV itu.

Khairy mengingatkan PPV lain untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

"PPV yang mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan disaran memaklumkan kepada CITF Pusat supaya kami dapat membantu dengan segera," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 11:39 AM