LIZAM Ridzuan selepas divaksin
LIZAM Ridzuan selepas divaksin
Lizam Ridzuan


Shah Alam: Harapan untuk divaksin terlaksana semalam, apabila penulis menerima dos pertama AstraZeneca (AZ) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada 4.30 petang.

Semuanya, daripada proses menunggu, divaksin sehinggalah keluar daripada IDCC, mengambil masa kira-kira sejam.

Sebelum itu, penulis ingin kongsikan sedikit pengalaman sebelum divaksin.

Melalui aplikasi MySejahtera dan vaksincovid.gov.my, penulis berjaya mendapatkan slot untuk temujanji bagi menerima suntikan vaksin AZ.

Beberapa hari sebelum tarikh temujanji, penulis menerima beberapa kiriman SMS selain panggilan telefon sebagai peringatan tarikh menerima suntikan.

Pada hari temujanji, sejurus tiba di IDCC dan sebelum naik ke tingkat tujuh untuk proses vaksinasi, semua perlu melakukan imbasan kod QR di pintu masuk.

Anggota Rela pula memeriksa aplikasi MySejahtera setiap individu sama ada individu berkenaan berisiko atau sebaliknya.

Tiba di tingkat tujuh, penulis dan yang lain, dengan penjarakan fizikal, diberi taklimat bagi mengisi borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 di Stesen 1 sebelum dibenarkan masuk ke dewan utama.

Lizam di ruang pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin.
Lizam di ruang pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin.

Sukarelawan bertugas pula sedia membantu dan sentiasa ada bagi memastikan proses berjalan lancar selain orang ramai tidak kehilangan arah.

Selepas itu, penulis dipanggil untuk pendaftaran, sekali lagi melalui imbasan kod QR MySejahtera, bagi memaklumkan kehadiran di Stesen 2.

Proses selanjutnya di Stesen 3 yang mana penulis bertemu doktor untuk pengesahan kesihatan selain menandatangani borang persetujuan sebelum ke Stesen 4 bagi suntikan vaksin.

Di Stesen 4, proses vaksinasi berjalan lancar dengan penulis hanya menunggu kira-kira lima minit untuk divaksin.

Di Stesen 4, ada lebih 10 bilik kecil menempatkan dua vaksinator untuk menyuntik vaksin AZ kepada dua individu pada satu-satu masa. Dalam bilik berkenaan, penulis juga melakukan imbasan kod QR MySejahtera untuk pengesahan menerima vaksin.

Lizam di ruang pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin.
Lizam di ruang pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin.

Selesai semua itu, penulis perlu ke stesen 5 untuk menunggu bagi mendapatkan kad pengesahan dan temujanji vaksin yang kedua dalam tempoh 12 minggu.

Meskipun proses sudah selesai, semua digalakkan menunggu di ruang pemerhatian (Observation Area) untuk setengah jam.

Ruang pemerhatian disediakan untuk penerima suntikan berehat sebentar selain memastikan tiada alahan selepas divaksin.

Taklimat melalui tayangan video berkaitan kesan dan langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat sebarang simptom selepas suntikan turut disediakan.

Lengan kiri penulis, yang disuntik vaksin, agak sengal-sengal namun selainnya, tiada apa kesan sampingan berlaku.

Penulis berharap, lebih ramai akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Hargailah keluarga kita selain petugas barisan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 12:01 PM