Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Individu yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam, dari 4 petang Jumaat lalu sehingga semalam, perlu memantau gejala dan membuat kawalan kendiri dalam tempoh 10 hari.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati mungkin pendedahan jangkitan di PPV IDCC berlaku pada tarikh berkenaan.

Khairy berkata, gejala Covid-19 berbeza dan individu jangan keliru dengan gejala yang dialami selepas menerima vaksinasi.

"Gejala berbeza selepas divaksinasi. Antara gejala Covid-19 ialah batuk serta hilang deria bau dan rasa. Mereka yang hadir ke pusat berkenaan pada hari berkenaan juga perlu melaksanakan kawalan kendiri selama 10 hari.

"Saringan itu perlu dibuat sekiranya mereka ada gejala selepas hadir ke IDCC pada tarikh yang dinyatakan. Ini prinsip asas ketika pandemik Covid-19. Ada simptom, buat saringan," katanya.

Sebelum ini, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan mengenai penutupan PPV IDCC selama sehari, berikutan kes positif Covid-19 di pusat berkenaan bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan.

Khairy berkata, sukar bagi pihaknya untuk mengenal pasti sesuatu jangkitan itu didapati di IDCC atau pun di tempat lain.

PETUGAS Badan Bertindak Imunisasi Covid - 19 (CITF), Mohammad Farez (kiri) memaklumkan penutupan IDCC Shah Alam kepadan pengunjung yang hadir untuk temujanji vaksinasi susulan kes positif Covid-19 di kalangan petugas di PPV tersebut. FOTO Owee Ah Chun
PETUGAS Badan Bertindak Imunisasi Covid - 19 (CITF), Mohammad Farez (kiri) memaklumkan penutupan IDCC Shah Alam kepadan pengunjung yang hadir untuk temujanji vaksinasi susulan kes positif Covid-19 di kalangan petugas di PPV tersebut. FOTO Owee Ah Chun

"Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyarankan mereka yang hadir ke IDCC pada 9 Julai (Jumaat) dari jam 4 petang, 10 Julai, 11 Julai dan 12 Julai untuk melaksanakan kawalan kendiri dan melihat kepada gejala selama 10 hari dari tarikh kehadiran mereka ke IDCC," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, CITF akan terus meningkatkan usaha dalam memastikan PPV IDCC selamat untuk menerima kehadiran orang ramai menerima suntikan vaksin pada hari seterusnya.

Khairy menasihati orang ramai untuk hadir ke janji temu vaksin di PPV IDCC seperti yang sudah dijadualkan sebelum ini serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Selain itu, hadir ke PPV mengikut masa yang ditetapkan dan pastikan untuk terus pulang selepas menerima vaksinasi. Tindakan ini bagi minimumkan masa mereka terdedah di kawasan umum," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 3:04 PM