Ruwaida Md Zain
am@metro.com.my


Shah Alam: The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Nestle Malaysia Berhad (Nestle) meraikan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.

Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) NSTP bersama Bernas dan Nestle itu, seramai 250 individu yang selesai mendapat suntikan vaksin pagi tadi menerima sumbangan pek makanan asas.

Pek sumbangan itu terdiri daripada beras ruji keluaran Bernas, Maggi Cili Kampung, Maggi Tumis Bilis, Maggi Pazzta, Sachet Nescafe Gold, Sachet Coffeemate serta sebotol kicap.

Pengurus Perhubungan Media Bernas, Mohd Zulhelmy Ismail berkata, program CSR itu sebagai usaha menyokong kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok.

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan NSTP juga IDCC untuk menyumbangkan pek makanan asas bersama Nestle yang mana kami bekalkan 250 beras dari Bernas untuk diagihkan kepada penerima vaksin hari ini.

"Usaha ini adalah salah satu objektif kita iaitu kesejahteraan untuk semua malah Bernas menyokong usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok tidak lama lagi.

"Selain itu, program ini mengeratkan lagi hubungan Bernas dengan NSTP iaitu Berita Harian, Harian Metro dan NST yang banyak membantu kami memperkenalkan Bernas kepada rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pada program itu di PPV IDCC, Seksyen 15 di sini, hari ini.

Mohd Zulhelmy berkata, memandangkan PPV IDCC adalah PPV pertama menerima sumbangan, pihaknya akan terus bekerjasama dengan NSTP untuk bersama berkongsi rezeki dengan masyarakat.

Ketua Pengurus PPV IDCC, Dr Nur Es Naini Awaluddin berkata, pihaknya bersyukur kerana penerima vaksin dan petugas PPV sentiasa dimurahkan rezeki dan dihargai banyak pihak.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan Bernas, NSTP dan Nestle di atas ingatan dan sumbangan kepada PPV IDCC.

"Alhamdulillah setakat ini rezeki murah di sini, penerima vaksin dan petugas PPV IDCC banyak menerima sumbangan dari pelbagai pihak.

"PPV IDCC mempunyai dua dewan, Dewan A bagi Astra Zeneca dan Dewan B pula Sinovac. Hari ini kita terima temujanji dos kedua saja dan PPV IDCC akan beroperasi sehingga 3 Oktober sebelum ditutup," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jualan & Pengedaran NSTP, M Prakash berkata, inisiatif yang dilakukan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada semua penerima vaksin.

"Kita cuba menggalakkan lebih ramai penerima vaksin bagi menyokong usaha kerajaan. Semoga ini menjadi usaha pencegahan dan kita selamat dari pandemik ini.

"Kita akan teruskan lagi program CSR seperti ini akan datang. Hari ini juga 4,500 naskhah akhbar Berita Harian, Harian Metro dan NST diedarkan secara percuma di PPV IDCC untuk menggalakkan ramai membaca.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program CSR terutamanya penaja-penaja iaitu Bernas, Nestle dan pihak IDCC juga yang memberi ruang kepada NSTP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:53 PM
PRAKASH (kanan) bersama Dr Nur Es Naini (tiga dari kanan) dan Mohd Zulhelmy (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penerima vaksin pada program CSR NSTP bersama Bernas di Pusat Pemberian Vaksin IDDC Shah Alam. FOTO Hazreen Mohamad
PRAKASH (kanan) bersama Dr Nur Es Naini (tiga dari kanan) dan Mohd Zulhelmy (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penerima vaksin pada program CSR NSTP bersama Bernas di Pusat Pemberian Vaksin IDDC Shah Alam. FOTO Hazreen Mohamad