GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan

AGROBANK mengambil langkah proaktif dengan menjalankan inisiatif Agrobank dan Komuniti yang dibangunkan khas dengan kerjasama beberapa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Agrobank untuk mengedarkan kotak makanan kepada kira-kira 1,600 penerima di seluruh negara.

Ia merangkumi semua lapan wilayah di bawah Agrobank.

Inisiatif ini dilaksanakan untuk membantu komuniti terjejas dan memerlukan bantuan serta sokongan dari segi keperluan asas makanan akibat kesempitan yang dialami ketika tempoh pandemik Covid-19.

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, Agrobank prihatin akan permasalahan yang dihadapi segelintir masyarakat ketika tempoh penularan pandemik ini seperti hilang punca pendapatan atau pendapatan berkurang disebabkan potongan gaji oleh majikan.

Katanya, menyedari situasi ini, pihaknya sudah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan usahawan PKS Agrobank dengan membangunkan inisiatif Agrobank dan Komuniti dengan jumlah keseluruhan sumbangan untuk 1,600 penerima itu bernilai RM100,000.

"Apa yang menarik mengenai program ini ialah, Agrobank dapat membantu usahawan PKS kami meneruskan kesinambungan perniagaan mereka dengan kami membeli hasil pengeluaran mereka bagi tujuan inisiatif ini.

"Usahawan juga berpeluang untuk turut sama menyumbang sedikit hasil daripada jualan perniagaan mengikut kemampuan mereka kepada golongan yang memerlukan pada waktu sukar seperti sekarang ini," katanya dalam kenyataan.

Sumbangan yang diberikan kepada penerima adalah bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung dan lain-lain.

Barangan ini pula dibeli secara terus oleh pejabat wilayah Agrobank daripada usahawan PKS Agrobank di kawasan setempat.

Khadijah berkata, ini juga salah satu inisiatif Agrobank bagi yang bukan sahaja membantu golongan terkesan akibat kehilangan punca pendapatan, tetapi juga PKS Agrobank dan sekali gus meringankan beban aliran tunai mereka dalam tempoh sukar sepanjang penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, sebanyak 7,000 barangan cenderahati dan korporat eksklusif Agrobank dengan nilai keseluruhan berjumlah RM43,000 turut diedarkan kepada penerima vaksin di lima lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Lembah Klang sepanjang Julai 2021.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Agrobank untuk menghargai komitmen diberikan oleh penerima vaksin untuk hadir ke sesi janji temu vaksin mereka di PPV terbabit dan menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Edaran barangan cenderahati dan korporat eksklusif Agrobank ini dilakukan di lima PPV iaitu PPV Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Melaka, PPV Axiata di Bukit Jalil, PPV Bergerak di PPR Seri Sarawak, PPV Bergerak di PPR Seri Kota dan PPV di Kampung Malaysia Tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:05 AM