GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menafikan berlaku perebutan antara pihaknya dengan individu tertentu untuk menguruskan jenazah yang meninggal dunia di hospital akibat Covid-19.

Selain itu, JHEAT juga tidak pernah mengeluarkan arahan setiap pengurusan jenazah termasuk yang meninggal dunia di hospital atau di rumah perlu diuruskan melalui pihaknya.

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad juga turut menafikan berpakat dengan individu yang menguruskan jenazah untuk monopoli setiap pengurusan jenazah yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Katanya, tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada pegawai agama aaerah (PAD) untuk mengambil alih semua pengurusan jenazah.

"JHEAT juga tidak pernah memasang sepanduk atau notis arahan setiap pengurusan jenazah yang meninggal dunia di hospital atau di rumah perlu diuruskan jabatan.

"Kita akan melakukan siasatan secara terperinci mengenai dakwaan JHEAT mengeluarkan arahan bahawa setiap pengurusan jenazah yang meninggal dunia di hospital atau di rumah mestilah melalui jabatannya seperti dimuat naik melalui Facebook (FB) milik seorang individu sejak Rabu lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

JHEAT menafikan pihaknya memasang notis arahan mengenai pengurusan jenazah. FOTO Baharom Bakar
JHEAT menafikan pihaknya memasang notis arahan mengenai pengurusan jenazah. FOTO Baharom Bakar

Mengikut dakwaan itu, disebabkan campur tangan JHEAT, pengurusan HSNZ memutuskan untuk tidak lagi membenarkan penggunaan fasiliti pengurusan jenazah, berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Azmi berkata, JHEAT tidak mengetahui mengenai dakwaan arahan terbaru pengurusan HSNZ yang tidak akan menyediakan fasiliti pengurusan jenazah kepada individu yang menguruskan jenazah.

JHEAT menafikan pihaknya memasang sepanduk mengenai pengurusan jenazah. FOTO Baharom Bakar
JHEAT menafikan pihaknya memasang sepanduk mengenai pengurusan jenazah. FOTO Baharom Bakar

Mat Azmi berkata, JHEAT sedang merangka untuk menetapkan kadar pengurusan jenazah terutama membabitkan pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Katanya, penyelarasan kos pengurusan jenazah dilakukan berikutan dakwaan kadar dikenakan pihak swasta membebankan ahli keluarga si mati.

"Siasatan awal dilakukan JHEAT termasuk menemu bual individu yang menguruskan jenazah mendapati caj dikenakan hanya RM750 termasuk keranda, batu nisan dan kelengkapan lain.

"Kos tambahan RM200 hanya dikenakan jika ahli keluarga meminta pengurusan jenazah menggali kubur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 10:04 AM