Faliq Lajim


KOPERASI Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) melaksanakan program Infaq Kit Pengurusan Jenazah yang akan diserahkan ke semua masjid, surau dan hospital di Selangor.

Ia merangkumi sasaran sebanyak 8,000 kit lengkap pengurusan jenazah bernilai RM1.5 juta akan diserahkan tahun ini.

Pengurus KOHIJRAH, Mohammad Syukri Ismail berkata, program itu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pihaknya tidak hanya mengutamakan perniagaan berteraskan keuntungan semata-mata.

“Kit yang lengkap untuk pengurusan jenazah lelaki dan wanita itu menawarkan harga lebih murah iaitu RM190, berbanding harga pasaran berjumlah RM250.

Mohammad Syukri Ismail menunjukkan kit pengurusan jenazah. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Mohammad Syukri Ismail menunjukkan kit pengurusan jenazah. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

“Ia mengandungi 20 barang kelengkapan pengurusan jenazah bermula proses mandian sehingga mengkafankan termasuk kain kafan, tali, minyak attar dan air mawar.

“Mereka yang ingin menginfaqkan kit itu boleh menghulurkan sumbangan serendah RM10. Apabila cukup, kit kemudian akan diserahkan kepada 407 masjid, 2,047 surau dan 10 hospital di seluruh Selangor,” katanya pada sidang media di Wisma KOHIJRAH di Seksyen 32 di Shah Alam, hari ini.

Kata beliau, pihaknya turut membuka peluang kepada orang ramai membeli kit itu sebagai kelengkapan sendiri atau ahli keluarga mereka.

Mohammad Syukri berkata, pihaknya akan memperluas program itu ke seluruh negara sekiranya menerima permintaan dan sambutan menggalakkan.

Orang ramai yang ingin menginfaqkan kit itu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun KOHIJRAH bernombor 105990040017 (Affin Islamic Bank).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 4:19 PM