Mat Azmi Arshad
Mat Azmi Arshad
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menubuhkan skuad sukarelawan untuk menguruskan jenazah pesakit Covid-19 secara percuma.

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, penubuhan skuad sukarelawan itu antara kaedah bagi membantu mengurangkan beban ahli keluarga menguruskan jenazah, walaupun kos dikenakan pengurusan jenazah swasta tidak membebankan.

"Berdasarkan pertemuan antara pihak pengurusan jenazah, kos menguruskan jenazah pesakit Covid-19 adalah RM750 termasuk keranda, batu nisan dan kelengkapan lain seperti kain putih.

"Kos tambahan RM200 hanya akan dikenakan jika ahli keluarga meminta pengurusan jenazah menggali kubur," katanya.

Mat Azmi berkata, JHEAT menubuhkan skuad sukarelawan untuk menguruskan jenazah pesakit Covid-19 secara percuma terutama untuk golongan asnaf.

Mengenai dakwaan bayaran tinggi untuk menguruskan jenazah pesakit Covid-19, Mat Azmi berkata, JHEAT sedang melakukan siasatan, tetapi setakat ini pihaknya belum menerima aduan daripada ahli keluarga si mati.

Sementara itu, pengurus dan pembekal peralatan pengurusan jenazah, Shahmil Hameed Syed Ahmed, 52, berkata kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 hanya dikenakan kurang daripada RM800.

Katanya, kos berkenaan termasuk pembelian keranda, batu nizan, peralatan lain terutama kain putih, manakala kos solat jenazah dan proses tayamum ditanggung sepenuhnya Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT).

"Dakwaan mengenai kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 tinggi dan membebankan berlaku jika ahli keluarga menggunakan khidmat pengurusan jenazah swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 5:57 PM