PROGRAM Pengurusan Jenazah Wanita di Surau Taman Zamrud, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan.
PROGRAM Pengurusan Jenazah Wanita di Surau Taman Zamrud, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan.
HM Digital

PENGURUSAN jenazah bukan sahaja perlu dipelajari lelaki sebaliknya wanita juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkenaan.

Menyedari betapa pentingnya mendalami ilmu fardu kifayah itu, Pejabat Penerangan Daerah Jempol bekerjasama dengan Surau Taman Zamrud, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan menganjurkan Program Pengurusan Jenazah Wanita, baru-baru ini.

Pegawai Penerangan Daerah Jempol Siti Noorezrin Mahmod berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Jempol.

Katanya, seramai 25 peserta menyertai program setengah hari dihadiri penduduk taman dengan program diadakan di surau taman berkenaan.

"Program ini bertujuan memberi ilmu yang berguna dan bermanfaat kepada wanita yang kemudian boleh digunakan kepada masyarakat sekiranya berlaku kematian membabitkan jiran tetangga," katanya.

Siti Noorezrin berkata, wanita juga perlu mendalami ilmu pengurusan jenazah supaya dan tidak mengambil mudah berkenaan soal pengurusan itu apatah lagi membabitkan ahli keluarga terdekat.

Katanya, pejabat penerangan pula menjadi pemudah cara dalam memastikan program berkenaan berjalan lancar.

Bagi Syarifah Shahira Rody, 24, dia teruja apabila dipilih menjadi model jenazah, namun pada masa sama turut berdebar-debar.

Katanya, program disertai membolehkannya menimba ilmu yang mempunyai 1,001 kebaikan dan pengetahuan mengenai penting ilmu pengurusan jenazah.

USTAZAH Suhaila (kiri) memberi penerangan mengenai pengurusan jenazah.
USTAZAH Suhaila (kiri) memberi penerangan mengenai pengurusan jenazah.

"Tidak terbayang bagaimana perasaan ketika dikafankan dan berdebar-debar ketika itu, namun saya tidak tunjukkan kepada peserta lain.

"Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan ketika itu, bayangkan baru menjadi model sahaja," katanya.

Syarifah Shahira berkata, dengan menyertai program itu juga, dia mendapat maklumat betul daripada penceramah berbanding sebelum ini.

"Saya sangat seronok menghadiri program seperti ini dan berharap dapat menyertainya lagi pada masa akan datang," katanya.

Bagi Putri Dang Sari Othman, 33, pula wanita juga penting mempelajari ilmu menguruskan jenazah ini kerana, apabila orang yang meninggal itu seorang wanita ia lebih baik diuruskan wanita itu sendiri demi menjaga aurat dan maruah jenazah wanita terbabit.

"Peserta juga diajar apa yang perlu dilakukan jika jenazah wanita masih ada alat pencegah kehamilan (IUCD) dalam rahimnya atau tatu masih di kulit, semua ada diterangkan dalam pengurusan jenazah itu," katanya.

Menariknya, program itu dikendalikan Ustazah Suhaila Yahya dari Paid Jempol.

"Ilmu pengurusan jenazah wajib dipelajari dan ia adalah tuntutan fardhu kifayah yang perlu diambil berat oleh umat Islam tidak kira lelaki atau perempuan," katanya yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam Paid Jempol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 6:47 AM