Siti Rohana Idris


Tumpat: "Masalah jantung saya ibarat 'bom jangka' apabila perlu bersedia dengan beg berisi dokumen penting di sisi jika dimasukkan ke hospital serta-merta," kata Adnan Abdullah.

Adnan, 41, yang menghidap penyakit jantung sejak tiga tahun lalu berkata, keadaan dirinya semakin teruk kerana kerap sesak nafas, sakit menyucuk, kejang dan berpeluh menyebabkannya berasa gusar.

"Saya disarankan menjalani rawatan Angiogram, tapi belum diberikan tarikh kerana perlu menunggu giliran.

"Dalam rasa bimbang, situasi itu 'melegakan' saya kerana difahamkan kos berkenaan dianggarkan sekitar RM16,000 yang sememangnya sangat besar bagi kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam Teratai, di sini, hari ini.

Adnan Abdullah, 41, menghidap sakit jantung sejak tiga tahun di sisi isterinya, Suzila Mat Amin, 37, memeriksa ubat yang perlu dimakannya setiap hari. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Adnan Abdullah, 41, menghidap sakit jantung sejak tiga tahun di sisi isterinya, Suzila Mat Amin, 37, memeriksa ubat yang perlu dimakannya setiap hari. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Terdahulu, Adnan menerima kunjungan aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman untuk menyampaikan sumbangan barang makanan dan zakat.

Bapa kepada lima cahaya mata berusia antara 20 bulan hingga 16 tahun itu juga mengalami masalah usus menyebabkannya kerap mengalami kesakitan ketika membuang air besar selain perlu memakai lampin pakai buang.

Adnan yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah berkata, dia kini bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 kerana tidak boleh bekerja.

"Bantuan bulanan itu hanya meringankan sedikit sahaja beban manakala untuk kelangsungan hidup kami tujuh beranak, isteri, Suzila Mat Amin, 37, berniaga air dan makanan ringan secara kecil-kecilan.

"Isteri baru memulakan perniagaan ini sejak lima bulan lalu dengan untung bersih yang diperoleh sekitar RM15 sahaja sehari," katanya yang bergantung kepada lapan jenis ubat setiap hari.

Katanya, dia juga berusaha mencari pucuk paku yang diletakkan di gerai ibu saudaranya dan dijual pada harga RM1 seikat kerana enggan berpeluk tubuh walaupun kesihatan tidak mengizinkan.

"Kami tidak sanggup menebalkan muka meminta-minta tapi adakalanya keadaan sangat mendesak contohnya keperluan lampin pakai buang dan susu khas anak bongsu.

"Kami juga jarang mengadu jika berlapar kerana selalunya ada individu yang tampil menghulurkan bantuan, tapi pernah hanya makan nasi dan budu dan menganggap setakat itu sahaja rezeki kami," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Adnan di talian 019-3173403.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 2:26 PM