Siti Rohana Idris

Tumpat: Segalanya berlaku secara mengejut apabila pemeriksaan mata kerana rabun rupa-rupanya ia adalah simptom kepada penyakit darah tinggi yang tidak pernah disangkanya.

Paling mengejutkan Mohd Hamdan Mohd Daud, 28, apabila pemeriksaan lanjut di hospital mendapati bapa kepada seorang cahaya mata itu menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.

Mohd Hamdan berkata, semua berita duka itu sangat mengejutkannya dan keadaan semakin meruncing apabila dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah premis kedai makan di Kota Bharu apabila kerap mengambil cuti sakit.

"Awal tahun ini saya membuat pemeriksaan mata kerana penglihatan menjadi rabun secara tiba-tiba dan doktor memberitahu terdapat satu ketulan di belakang kornea mata yang berkait dengan darah tinggi.

"Saya terkejut kerana selama ini tidak pernah tahu ada menghidap sakit darah tinggi dan lagi mengejutkan apabila pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati saya turut menghidap sakit buah pinggang kronik.

"Kedua-dua berita itu sangat mendukacitakan saya kerana sudah pasti akan mempengaruhi rutin harian sekali gus menyebabkan saya tidak dapat bekerja menyara anak dan isteri lagi," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Teluk Jering di sini.

Mohd Hamdan berkata, setiap kali berjumpa doktor, dia tidak pernah lupa bertanyakan bagaimana keadaan kesihatannya dan seperti biasa, jawapan yang diterima sudah dijangka iaitu keadaan buah pinggangnya tidak akan pulih.

Katanya, keajaiban mungkin akan berlaku jika ada penderma buah pinggang namun ia agak berisiko.

"Saya dan isteri ada berbincang mengenai perkara ini (pembedahan derma buah pinggang) tapi menemui jalan buntu.

"Jika isteri bersedia untuk menderma buah pinggangnya, kami risau berlaku sesuatu ke atasnya dan siapa yang akan menguruskan anak lelaki kami yang baru berusia dua tahun," katanya.

Mohd Hamdan Mohd Daud, 28, menunjukkan tapak fistula untuk rawatan dialilis di lengannya sambil diperhatikan isteri, Fatihah Mohd Rozali, 24, ketika ditemui di Kampung Teluk Jering. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Mohd Hamdan Mohd Daud, 28, menunjukkan tapak fistula untuk rawatan dialilis di lengannya sambil diperhatikan isteri, Fatihah Mohd Rozali, 24, ketika ditemui di Kampung Teluk Jering. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Mohd Hamdan perlu membuat rawatan dialisis tiga kali seminggu di pusat dialisis di bandar Tumpat dan nasibnya agak baik kerana kos itu dibiayai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurutnya, hanya kos ubat sahaja yang perlu ditanggung sendiri dan kadang-kadang ia agak membebankan berikutan sumber pendapatan mereka hanya bergantung kepada isteri, Fatihah Mohd Rozali, 24, yang mengambil upah cucuk sate dengan bayaran RM35 sehari.

"Bagaimanapun, bukanlah setiap hari isteri bekerja kerana jika hari saya perlu menjalani dialisis, dia yang membonceng saya dengan menunggang motosikal buruk kami.

"Catu makan minum sudah biasa bagi kami kerana perlu mendahulukan rawatan serta ubat saya dan dibantu juga oleh ibu mentua dengan menyara hidup membuat kuih muih dan diletakkan di kedai kopi," katanya yang baru menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500.

Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir memberi bantuan makanan asas serta wang zakat.

Bagi yang ingin membantu, boleh menghubungi Mohd Hamdan di talian 019-9742230.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 12:33 PM