Siti Rohana Idris


Tumpat: Peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang memberikan beberapa kelonggaran dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat di sini.

Peluang untuk beriadah dan 'dine-in' bagi mereka yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 digunakan sepenuhnya selepas sebelum ini 'terikat' dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bukan hanya tepi pantai atau kawasan rekreasi, orang ramai juga mengambil peluang menjamu selera di premis kedai makan yang semakin banyak dibuka.

Seorang pesara guru, Zaleha Abdul Rahman, 59, dari Kampung Teliar, Pasir Mas, berkata memandangkan mereka sekeluarga sudah mendapatkan dua dos suntikan, keinginan untuk keluar bersiar sejak sekian lama terus diambil.

"Hari ini saya dan suami serta dua anak mengambil keputusan untuk bersarapan di sebuah kafe di tepi laguna Pantai Sri Tujoh di sini sambil mengambil angin.

"Sekian lama 'terkurung' sudah sampai masanya kita dibenarkan keluar asalkan selesai mendapatkan dua dos suntikan dalam masa yang sama tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tinjauan yang dilakukan sekitar laguna Pantai Sri Tujoh di sini mendapati pengunjung bertali arus datang dan difahamkan keadaannya semakin meriah menjelang petang.

ZALEHA Abdul bersama ahli keluarganya mengambil kesempatan pada hujung minggu keluar melakukan aktiviti riadah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZALEHA Abdul bersama ahli keluarganya mengambil kesempatan pada hujung minggu keluar melakukan aktiviti riadah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Kebanyakan pengunjung yang datang adalah bersama keluarga dan meskipun begitu, SOP tetap tidak diabaikan iaitu pemakaian pelitup muka termasuk kepada kanak-kanak.

Bagi pemilik sebuah kafe di sini, Suli Suraijah Abdullah, 34, berkata premisnya baharu dibuka bermula semalam memandangkan semua lima pekerjanya baru selesai mendapatkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Dia berkata, sebelum ini perniagaannya yang berasaskan kopi hanya dijalankan dengan konsep jalanan di Pasir Pekan di sini, tapi memandangkan premis kedai makan dibenarkan beroperasi, dia menambahkan cawangan dengan membukanya di laguna terbabit.

"Walaupun kafe ini dibuka bermula semalam, kami agak terkejut dengan kunjungan pelanggan yang di luar jangkaan meriahnya.

"Mungkin disebabkan lokasinya yang menarik iaitu di tepi laguna, ramai pengunjung yang datang untuk menikmati makanan terutama penggemar kopi di samping bersiar mengambil angin.

"Meskipun sudah diberikan banyak kelonggaran, kami tetap menitikberatkan pematuhan SOP termasuk sentiasa membuat pemeriksaan MySejahtera pelanggan untuk kenalpasti mereka mendapatkan dua dos suntikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:03 PM