KEADAAN air yang melimpah ke perkarangan kafe milik Suli Suraijah Abdullah, 34, yang terletak di sebelah lagun Pantai Sri Tujoh. FOTO ihsan SULI SURAIJA
KEADAAN air yang melimpah ke perkarangan kafe milik Suli Suraijah Abdullah, 34, yang terletak di sebelah lagun Pantai Sri Tujoh. FOTO ihsan SULI SURAIJA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Aktiviti makan sambil merakam gambar pemandangan berlatarbelakangkan pantai di sebuah kafe di lagun Pantai Sri Tujoh, di sini, tergendala apabila air pasang secara tiba-tiba, semalam.

Kejadian berlaku pada 7 malam menyebabkan pengunjung terpaksa berpindah ke pondok yang dijadikan tempat makan, manakala ada yang bergegas mengalihkan kenderaan ke tempat selamat.

Pemilik kafe K'loh Paradise, Suli Suraijah Abdullah, 34, berkata kejadian air pasang melimpah hingga ke premisnya berlaku kali kedua selepas kejadian pertama pada petang Khamis lalu.

Menurutnya, walaupun limpahan itu hanya berlaku kira-kira satu jam sahaja, tetapi agak mengejutkan pengunjung namun kejadian itu tidak membimbangkan.

"Air pasang dengan cepat memenuhi kawasan kafe dan ia mencecah ketinggian 0.3 meter menyebabkan pengunjung terpaksa berpindah ke meja lain di lokasi lebih tinggi manakala kenderaan juga dialihkan ke tepi jalan raya.

"Keadaan itu berlaku kira-kira satu jam sahaja sebelum premis ini kembali beroperasi seperti biasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suli Suraijah berkata, dia sudah dimaklumkan kawasan terbabit berisiko dilanda air pasang setiap kali menjelang musim tengkujuh.

Menurutnya, dia tetap mengambil risiko itu dengan membuka kafe berkonsepkan ruang terbuka sambil menikmati pemandangan lagun.

"Kejadian air pasang itu tidak membimbangkan kerana limpahannya tidak dalam dan surut dalam jangka masa singkat," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Maisarah Shapiin, 33, berkata dia sempat berdepan dengan kejadian air pasang yang mulai melimpah sedikit demi sedikit.

Menurutnya, ketika sedang menikmati makanan, secara tiba-tiba air meningkat dan melimpah masuk ke perkarangan premis itu.

"Kami terperanjat dan agak bimbang limpahannya semakin meningkat tapi ia hanya bertahan di paras 0.3 meter sahaja sebelum perlahan-lahan surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:29 PM