Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Ada juga individu yang belum lengkap menerima dua suntikan vaksin mahu 'cuba nasib' masuk ke dalam premis namun kami tidak benarkan," kata pekerja sebuah kedai pakaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Noor Shazwani Shaharom Badrol Hisham.

Noor Shazwani, 25, berkata, sejak kedai pakaian berkenaan dibuka minggu lalu, kurang daripada 10 pengunjung datang ke premis berkenaan setiap hari.

"Ada antara mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin namun tarikh suntikan belum melebihi tempoh dua minggu. Malah, ada antara mereka yang baru satu dos datang 'cuba nasib' untuk masuk ke premis, namun dilarang kerana belum lengkap dua dos vaksin.

"Apabila dijelaskan, individu yang belum lengkap dua dos ini tahu bahawa mereka tidak boleh masuk ke dalam kedai ini. Namun, mereka tetap mahu masuk kerana mungkin menyangka kami (pekerja) tidak akan menyemak dengan teliti," katanya ketika ditemui, hari ini.

Noor Shazwani berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan rapi terhadap setiap pengunjung dengan memeriksa aplikasi MySejahtera sebelum membenarkan mereka masuk ke dalam premis.

"Kami akan periksa sama ada mereka sudah lengkap menerima dua dos vaksin serta tarikh suntikan dos kedua sudah melebihi 14 hari dari tarikh disuntik.

"Sekiranya belum, kami tidak akan membenarkan mereka masuk. Malah, akan ada seorang pekerja secara bergilir-gilir bertugas di bahagian pintu masuk premis bagi memastikan prosedur operasi standard berkenaan dipatuhi," katanya.

Pengunjung, Noor Janah Atan, 37, berkata kebanyakan premis perniagaan dikunjunginya mematuhi SOP dengan hanya membenarkan individu lengkap dua dos vaksin untuk masuk ke dalam premis.

"Di depan pintu masuk, akan ada pekerja melakukan pemeriksaan MySejahtera untuk lihat jika saya sudah lengkap dua dos vaksin atau tidak. Malah, mereka turut periksa tarikh saya menerima suntikan dos kedua vaksin sudah melebihi dua minggu atau tidak.

"Semua premis yang saya pergi mengamalkan SOP ini. Belum ada lagi premis yang saya pergi sama ada kedai pakaian, kedai makan atau lain-lain tidak mengamalkan SOP berkenaan," katanya ketika ditemui di sebuah kedai pakaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Pekerja kedai pakaian, Noor Shazwani Shahrom Badrol Hisham, 25 melihat sijil digital vaksinasi COVID-19 yang ditunjukkan oleh pelanggannya sebelum dibenarkan masuk ke premis pada tinjauan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dua dos bagi negeri-negeri di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan masuk ke premis seperti kedai makan, restoran dan pusat beli-belah di sekitar ibu negara . FOTO ASWADI ALIAS
Pekerja kedai pakaian, Noor Shazwani Shahrom Badrol Hisham, 25 melihat sijil digital vaksinasi COVID-19 yang ditunjukkan oleh pelanggannya sebelum dibenarkan masuk ke premis pada tinjauan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dua dos bagi negeri-negeri di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan masuk ke premis seperti kedai makan, restoran dan pusat beli-belah di sekitar ibu negara . FOTO ASWADI ALIAS

Beliau yang juga kakitangan awam berkata, pelaksanaan SOP membenarkan hanya individu lengkap vaksin ke premis berkenaan adalah langkah baik mengurangkan risiko simptom teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.

"Kita tahu bahawa vaksin itu berfungsi untuk mengurangkan simptom teruk jika dijangkiti Covid-19. Sekiranya mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin dijangkiti, mereka tidak akan mengalami simptom teruk berbanding individu tidak mendapatkan vaksin.

"Tidak bermakna kita yang sudah mengambil vaksin akan kebal daripada jangkitan Covid-19. Disebabkan itu, pematuhan SOP serta amalan norma baharu ini perlu terus dipatuhi bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa lokasi di sekitar pusat bandar ini mendapati rata-rata premis perniagaan mematuhi SOP ditetapkan.

Ada pusat beli-belah didapati menempatkan petugas di bahagian pintu masuk serta eskalator menuju ke tingkat menempatkan kedai pakaian dengan palang.

Ia bertujuan bagi mengelakkan ada individu mengambil kesempatan masuk tanpa melalui pemeriksaan dilakukan petugas pusat beli-belah berkenaan.

Turut kelihatan beberapa individu dilarang masuk berikutan pemeriksaan dilakukan mendapati mereka belum lengkap menerima dua dos suntikan vaksin serta tarikh suntikan dos kedua belum melebihi dua minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 3:38 PM